KUALA TERENGGANU

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu menegaskan agar Kerajaan Persekutuan menghentikan segera segala bentuk gangguan dan campur tangan terhadap penyaluran royalti petroleum yang merupakan hak mutlak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu.

-Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata demikian susulan pendedahan terbaharu yang menunjukkan hanya separuh royalti petroleum disalurkan terus ke akaun rasmi kerajaan negeri.

Katanya, laporan yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan berlaku jurang besar antara jumlah yang sepatutnya diterima dan apa yang benar-benar sampai ke perbendaharaan negeri.

“Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan bahawa bagi tahun 2024, hanya sebanyak RM733 juta daripada jumlah sebenar RM1.553 bilion royalti petroleum telah dimasukkan ke dalam akaun rasmi kerajaan negeri.

“Sementara itu, baki sebanyak RM820 juta lagi tidak disalurkan terus ke akaun negeri. Bagi tahun ini pula sehingga 2 November 2025, hanya RM583 juta daripada RM 1.08 bilion royalti dimasukkan dalam akaun kerajaan negeri.

“Keadaan ini dengan jelas menunjukkan bahawa 50 peratus daripada hasil royalti petroleum milik negeri telah dinafikan haknya untuk diurus oleh kerajaan negeri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Husain berkata, kecurangan itu bukanlah sesuatu yang baharu, sejak tahun 2023 lagi, penyaluran royalti petroleum kepada Terengganu sering kali diseleweng daripada saluran asal dan malangnya keadaan tersebut masih berulang hingga ke tahun ini.

“Tindakan ini bukan sahaja menyalahi semangat federalisme yang adil, malah memperlihatkan kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk berlaku matang dan menghormati autonomi kewangan negeri sebagaimana termaktub dalam sistem persekutuan Malaysia.

“Situasi ini juga amat dikesali kerana ia memberi kesan langsung kepada momentum kemajuan negeri yang kini berada di landasan terbaik dalam sejarah moden Terengganu dan tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Umno sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang era pentadbiran PAS, negeri ini telah mencatat hasil negeri tertinggi iaitu kira-kira RM293 juta, pelaburan terbesar berjumlah RM21.9 bilion dari 2018 hingga 2025, serta diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.

Selain itu beliau berkata, Terengganu kini muncul sebagai negeri yang mempunyai potensi besar dalam sumber nadir bumi (REE) dan tenaga boleh diperbaharui.

“Kejayaan-kejayaan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti nyata bahawa pentadbiran PAS di Terengganu mampu mentadbir dengan cekap, berintegriti dan berpaksikan kebajikan rakyat.

“Oleh itu, sebarang sekatan atau gangguan terhadap hak kewangan negeri merupakan satu bentuk kezaliman yang mencabul hak rakyat serta menafikan prinsip keadilan fiskal dalam sistem federalisme negara,” katanya.

PAS Terengganu juga ingin menyeru agar rakyat di negeri-negeri lain, khususnya di Sabah, mengambil pengajaran daripada apa yang sedang berlaku di Terengganu.

“Jangan mudah terpedaya dengan kempen dan janji manis blok PH-BN menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah nanti. Hakikatnya, apa yang berlaku kepada Terengganu adalah contoh jelas pengkhianatan janji.

“Bukan sahaja janji 20 peratus royalti petroleum tidak tepati, malah lima peratus yang tercatat kemas dalam akta dan perjanjian pun dibahagi dua,” katanya. – kredit: HARAKAHDAILY

 17/11/2025