HAMPIR dua minggu berada di Tanah Suci, bersama 48 rakan lain, menjadi tetamu Raja Saudi, termasuk bos Sinar Harian, kini saya kembali semula. Hati membuak-buak untuk memberikan komen perkembangan semasa politik negara setelah menumpukan perhatian menjalani ibadah di sana.

Hebat sungguh ultra kiasu, lagak 'anak jantan’ dalam PR, memutuskan hubungan dengan Pas secara total. Tidak malu dengan keputusan itu, malahan mereka sanggup pergi ke Kelantan dan menawar diri untuk membina masjid di sana, setelah kononnya ‘berjaya’ membina beberapa buah ‘rumah’ untuk penduduk Gua Musang yang dilanda banjir tidak lama dahulu. Macamlah Kerajaan Kelantan begitu haprak sehingga tidak mampu untuk membina masjid di buminya sendiri.

Begitu juga dengan lagak sasterawan negara Melayu ultra kiasu mengambil kesempatan mengisytiharkan diri menyertai parti ultra kiasu secara rasmi. Konon katanya mahu menjadi ‘hamba’ dan tidak mendambakan jawatan dan pangkat, apatah lagi untuk dicalonkan menjadi wakil rakyat. Hebat Melayu ultra kiasu ini sehingga tidak memilih parti Melayu seperti Pas dan Umno, sebagai wadah. Nasihat saya, bila berpolitik (atau bekerja), pastikan wadah politik boleh membawa kita ke syurga.

Berbalik kepada tawaran ultra kiasu membina masjid, apakah Kerajaan Kelantan tidak mampu atau membina ikut keperluan, bukan ikut suka pacak sahaja? Apakah ultra kiasu tidak nampak patung Buddha kedua terbesar di dunia terbaring di negeri Kelantan, walaupun bilangan penganutnya sangat minoriti. Kenapa Kerajaan Kelantan membenarkan dan membantu pembinaannya walaupun jika dilihat dari segi bilangan, sememang tidak layak untuk mendapat kemudahan seperti itu? Inilah toleransi terhebat umat Islam yang tidak ada di negara lain.

Masih tidak tahu psywar dan psyop ultra kiasu? Siapakah yang mahu membina masjid tersebut? Kerajaan Pulau Pinang atau hartawan ultra kiasu yang telah menjadi kaya-raya setelah dibantu oleh Kerajaan Pusat selama ini. Selepas ini tidak mustahil ultra kiasu akan menaja umat Islam untuk menunaikan umrah atau haji, bagi menunjukkan mereka begitu prihatin terhadap nasib umat Islam yang ‘terbiar’ di bawah BN.

Kepada umat Islam yang akan menerima bantuan tersebut, usah ditanya sumber kewangan yang ingin didermakan, hasil halalkah atau haramkah? Bukan kita tidak tahu. Apa yang penting, ambil duit ultra kiasu itu dahulu, kerana duit mereka itu adalah hasil duit rakyat juga.

Ultra kiasu tidak akan jadi kaya jika umat Islam tidak membantu ekonomi mereka.

Kejayaan mereka membina empayar ekonomi disebabkan oleh kemurahan kita juga. Siapa yang memberi AP gula kepada mereka? Konsesi balak? Sebuah bukit untuk berniaga judi dan macam-macam kemudahan lagi?

Sebab itu, saya sangat bersyukur bila PR telah diisytiharkan mati. Tahniah Pas kerana berani membuat keputusan dan tidak lagi dibuli. Ya, kita tidak nafikan memang sukar untuk parti Melayu (Umno dan Pas) untuk memerintah tanpa sokongan atau berpakat dengan bukan Islam. Sebab itu, Umno perlukan BN, manakala Pas perlukan PR. Namun, dalam soal prinsip kita tidak boleh bertolak ansur.

Lanskap politik saling bergantung dan mengharap ini boleh berubah jika Umno dan Pas bersatu. Kenapa tidak dirintiskan kerjasama ini, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini? Kenapa begitu kuat berdendam? Berbaik dengan musuh, menolak persaudaraan sesama sendiri?

Saya tidak nafikan sifat tolak ansur amat penting untuk dijalin dan diteruskan. Tetapi kita perlu melihat jenis bukan Islam yang macam mana. Jika mereka terus memusuhi Islam seperti ultra kiasu, adakah persahabatan ini perlu diteruskan?

Sejak dari awal berkawan dengan Pas, ultra kiasu asyik membuli Pas. Pas tetap bersabar. Ultra kiasu tidak henti terus menyerang. Akhirnya, kepemimpinan Pas membuat keputusan. Saya yakin, melihat kepada kealiman ulama Pas, tidak mustahil mereka telah melakukan solat istikharah, minta petunjuk ALLAH, sebelum membuat keputusan yang ‘pahit’ ini.

Pelik kenapa segelintir pimpinan tidak dapat menerima keputusan ulamanya ini? Siapa lagi yang ingin didengari kalau bukan ulama yang menjadi sanjungan Pas selama ini? Hebat sangatkah profesional yang ada dalam Pas, sehingga boleh menganalisis isu-isu strategik mengatasi ulama mereka yang sudah pasti meminta petunjuk ALLAH?

Jika Allahyarham Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz masih hidup, saya tidak yakin mereka sedia atau sudi bekerjasama dengan ultra kiasu lagi, seperti yang didakwa oleh anak-anak mereka. Ternyata tidak boleh didakwahkan lagi. Ultra kiasu begitu bongkak dan takabbur setelah mendapat kuasa. Bayangkan jika mereka berjaya mendapat Putrajaya selepas ini.

* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

sumber: Sinar Harian