Nuffnang

IkutSukaLu

Syarat utama capai dan , bersedia berubah dan menerima perubahan.
tidak bererti

Fly

Fly
Ini blog lu, lu punya fikiran, lu punya persepsi, lu punya selera, lu punya suka apa lu nak conteng dan luahkan kat cni.
PERHATIAN..!!! Ini blog ..., dengan penggunaan bahasa serta yang mungkin keterlaluan bagi sesetengah pihak, jika boleh terima konsepnya teruskan pembacaan, jika sebaliknya dengan penuh hormat dipersilakan 'logout' secepat mungkin. Supaya tidak menyakitkan hati. Berkemungkinan juga bakal membuatkan sesetengah pihak (pembaca) menjadi gila meroyan dengan menambahkan di sini.
puashati...??? Email sama lu: zebraduka@gmail.com

Sunday, November 30, 2025

Kebakaran besar

 

Hong Kong berkabung tiga hari, 128 maut dalam kebakaran pangsapuri


Hong Kong berkabung tiga hari, 128 maut dalam kebakaran pangsapuri



Asia
Hong Kong berkabung tiga hari, 128 maut dalam kebakaran pangsapuri
November 30, 2025 @ 8:44am
description
Pemandangan terbaharu yang dirakamkan semalam menunjukkan keadaan kompleks kediaman Wang Fuk Court selepas terbakar pada Rabu lalu. - Foto REUTERS
Pemandangan terbaharu yang dirakamkan semalam menunjukkan keadaan kompleks kediaman Wang Fuk Court selepas terbakar pada Rabu lalu. - Foto REUTERS
HONG KONG: Hong Kong memasuki tempoh berkabung selama tiga hari bermula semalam selepas kebakaran di sebuah kompleks kediaman mengorbankan sekurang-kurangnya 128 orang, menjadikannya antara tragedi paling buruk dalam sejarah bandar itu.

Ribuan penduduk hadir di sebuah taman kecil berhampiran Wang Fuk Court, kompleks perumahan di Tai Po yang terbakar lebih 40 jam.

Mereka membawa bunga putih dan kuning, meletakkan nota serta gambar sebagai penghormatan kepada mangsa.

Menjelang malam, kawasan itu dipenuhi orang ramai berpakaian gelap.


Antara mereka, seorang wanita berusia 69 tahun, Wong, yang tinggal di situ lebih empat dekad, menyenaraikan jiran yang terkorban termasuk seorang nenek dan cucu berusia 18 bulan.



"Semalam disahkan mereka meninggal," katanya sebak.


Seorang lagi penduduk, Wong Kuen-mui, 67, berkata, kebakaran itu memusnahkan "memori 40 tahun", termasuk gambar zaman kanak-kanak anak-anaknya.


Di seluruh daerah, 18 pusat takziah dibuka termasuk sebuah dewan komuniti yang menjadi lokasi menandatangani buku ucapan takziah.


"Saya hanya berharap mereka tenang di sana," kata seorang lelaki berusia 52 tahun, Ki.


Pada jam 8 pagi, Ketua Eksekutif John Lee bersama pegawai kanan bertafakur tiga minit di luar ibu pejabat kerajaan, dengan bendera China dan Hong Kong dikibarkan separuh tiang.


Semua acara rasmi kerajaan dibatalkan sepanjang tempoh berkabung.


China turut melancarkan kempen nasional bagi mengurangkan risiko kebakaran di bangunan tinggi, lapor CCTV.


Konsulat Filipina mengesahkan seorang pekerja warga Filipina antara mangsa.


Polis memaklumkan, angka korban kekal 128, dengan 44 mayat belum dikenal pasti.


Pasukan Identifikasi Mangsa Bencana telah memeriksa dua daripada lapan menara tanpa menemui mayat baharu.


Sekitar 150 orang masih dilaporkan hilang, manakala lebih 40 mangsa cedera dirawat di hospital, termasuk 19 dalam keadaan kritikal.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong menahan lapan individu berkaitan kebakaran itu dan menahan tiga lagi pada Sabtu.


Kebakaran yang bermula Rabu petang merebak pantas ke tujuh daripada lapan menara di kawasan padat itu.


Siasatan awal mendapati ia bermula pada jaring perlindungan di tingkat bawah sebelum merebak ke papan buih mudah terbakar dan perancah buluh.


Ketua Jabatan Bomba, Andy Yeung berkata. semua sistem penggera di bangunan berkenaan didapati rosak dan berjanji mengambil tindakan terhadap kontraktor.


Penduduk mendakwa mereka tidak mendengar sebarang penggera dan terpaksa mengetuk pintu jiran untuk memberi amaran.


Kebakaran ini adalah yang paling dahsyat sejak 1948 apabila letupan dan kebakaran mengorbankan sekurang-kurangnya 135 orang.


Kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat punca kejadian dan menggantung kerja di 30 tapak pembinaan swasta di seluruh bandar


kredit: bharian,reuters


Saturday, November 29, 2025

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17



Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17

KOTA KINABALU: Seramai 1,760,417 pengundi biasa daripada jumlah keseluruhan 1,784,843 pengundi berdaftar di seluruh Sabah akan menunaikan tanggungjawab hari ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang menyaksikan persaingan 596 calon bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan sebanyak 882 pusat mengundi yang akan dibuka di seluruh Sabah bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang. SPR turut menjangkakan keputusan awal pengundian dijangka dapat diumumkan sekitar 10 malam.

BH Online membawa lintas langsung perkembangan semasa mengenai proses pengundian PRN Sabah.




Wednesday, November 26, 2025

Kurikulum Prasekolah 2026

Kalau dulu ramai ingat prasekolah ni cuma tempat anak belajar menyebut huruf dan warna, tapi sebenarnya sekarang dah tak macam tu sebab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dah memperkenalkan Kurikulum Prasekolah 2026, yang akan mula dilaksanakan Januari 2026.


Kurikulum ni bukan sekadar tentang apa anak-anak belajar, tapi macam mana mereka belajar dengan lebih menyeronokkan, seimbang dan penuh makna. Jom tengok 5 perkara penting yang korang (terutama mak ayah) patut tahu!


1. Kurikulum Baharu, Pendekatan Baharu

Kurikulum Prasekolah 2026 dibangunkan berasaskan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, dengan tumpuan kepada pembelajaran berorientasikan kompetensi.

Maksudnya, anak-anak bukan je belajar fakta atau hafalan, tapi diasah dari segi kemahiran, nilai serta sikap yang membolehkan mereka menggunakan apa yang dipelajari dalam situasi sebenar kehidupan.

Nak anak seimbang dari segi emosi, sosial, dan intelek? Inilah caranya! 

Pembelajaran dijalankan melalui bermain kerana pada masa inilah anak-anak belajar paling cepat – bila mereka seronok, bebas mencuba dan gembira meneroka.


2. Ibu Bapa, Korang Sebenarnya ‘Guru Pertama’ Untuk Anak-Anak!

Dalam Kurikulum Prasekolah 2026, pelibatan ibu bapa bukan lagi pilihan tapi kunci utama kejayaan anak.

Korang bukan sekadar hantar anak ke sekolah, tapi juga penyokong utama dari rumah.

Macam mana nak libatkan diri?

Baca bersama anak — tak kisah sebelum tidur atau waktu santai, ini bantu pupuk minat membaca.

Berkomunikasi dengan guru — kongsi tabiat, minat dan keperluan anak supaya pembelajaran lebih berkesan.

Wujudkan kesinambungan rumah-sekolah dan sebaliknya — apa yang anak belajar di sekolah, teruskan di rumah dan apa yang anak belajar di rumah, teruskan di sekolah.

Sertai aktiviti sekolah — hari sukan, gotong-royong atau lawatan sambil belajar

Bila anak nampak mak ayah ambil berat, automatik keyakinan diri dan semangat belajar mereka semakin meningkat!


3. Waktu Rehat Pun Ada Nilainya

Waktu rehat bukan sekadar masa makan atau minum, dalam kurikulum baharu ni, waktu rehat sebenarnya masa belajar yang penting. Bayangkan 40 minit sehari dapat bantu si kecil belajar berdikari.

Contohnya, bila anak susun meja, bantu sediakan makanan, cuci tangan atau kemas cawan dan pinggan sendiri, semua tu sebenarnya aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembentukan karakter.

Dari situ, anak belajar tanggungjawab, kerjasama, disiplin dan adab – perkara kecil yang bantu bentuk diri mereka jadi lebih berdikari dan berakhlak. 

Kalau mak ayah sambung rutin ni di rumah, kesannya lebih kuat dimana anak-anak akan lebih yakin dan mampu urus diri sejak kecil.


4. Anak Prasekolah Pun Dah Celik Teknologi

Zaman sekarang, budak 5 tahun pun dah pandai guna tablet kan? Sebab tu Kurikulum Prasekolah 2026 turut perkenalkan dunia digital secara selamat dan beretika – cara guna peranti dengan bijak, tahu bila nak hadkan masa depan skrin dan cara cari maklumat dengan betul.

Bukan sekadar tahu tekan-tekan skrin, tapi faham cara guna teknologi untuk kebaikan diri dan orang lain sejak kecil.


5. Guru & Ibu Bapa — Team Hebat Bentuk Generasi Masa Depan

Kejayaan kurikulum ni bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk guru, ibu bapa, komuniti dan KPM sendiri.

Guru bukan sekadar mengajar anak-anak, tapi juga jadi pemudah cara dan penyokong kepada ibu bapa, kongsi tips, aktiviti dan panduan untuk teruskan pembelajaran di rumah.

Bila dua pihak ni bekerjasama, suasana belajar jadi lebih menyeronokkan dan anak-anak rasa disokong sepenuhnya di sekolah dan di rumah.


Demi masa depan anak-anak yang lebih baik

Kurikulum Prasekolah 2026 ni bukan sekadar tentang akademik, tapi juga tentang membentuk insan sejahtera yang sihat tubuh badan, cerdas minda dan kaya budi pekerti.

Dengan kerjasama erat antara guru dan ibu bapa, anak-anak bukan je bersedia untuk ke sekolah rendah, tapi juga untuk kehidupan sebenar nanti.

Jadi, jom sama-sama kita jadi sebahagian daripada perjalanan baharu pendidikan prasekolah ni sebab setiap langkah kecil anak hari ni, bakal membentuk masa depan besar di esok hari.

kredit: oh bulan

Tuesday, November 25, 2025

 



Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Rokan ke Indragiri,
Membawa tinta ke Kuala Linggi;
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh tepi jambangan;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Kuih bahulu tradisi kita,
Ketupat rendang pembuka selera;
Tangan dihulur maaf dipinta,
Agar ukhwah terjalin mesra.

PANTUN BUAT WARGA EMAS

Bulan purnama ke pekan Kuah,
Di tengah hari membeli ragi;
Dirimu umpama nyiur bertuah,
Padat sari harum mewangi.

Curah serbat di atas lantai,
Basah tikar lupa disidai;
Dikau ibarat karang di pantai,
Tak pernah gentar dipukul badai.

Pohon sena tepi perigi,
Tepi paya si pohon jambu;
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.

Anak dara ke Tanjung Batu,
Janji bertemu di Teluk Bayu;
Walau usia dimamah waktu,
Cekal hatimu tak pernah layu.

Bukan gua sebarang gua,
Gua penuh pusaka bonda;
Bukan tua sebarang tua,
Tua penuh ilmu di dada.

Pergi ke Nilai membeli jamu,
Jamu rasa dari tenggara;
Tidak ternilai jasa baktimu,
Kepada bangsa juga negara.

Tidak goyah pancang seribu,
Tika masih badai menderu;
Engkau ayah engkaulah ibu,
Menumpang kasih mengubat rindu.

Pohon beringin tepi keramat,
Dengar siulan diufuk barat;
Kalau ingin hidup selamat,
Buat bekalan untuk akhirat.

Beli keladi di Pekan Lidup,
Sayang rasa lemaknya kurang;
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.

Pintal kapas menjadi benang,
Tenun benang menjadi sari;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang meracun diri.

Pohon senduduk baru di tanam,
Sayang mati di pijak pak tani;
Dari duduk baik bersenam,
Senang hati sihat jasmani.

Apa guna siparang panjang,
Kalau tidak dengan tujuan;
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.

Timba suasa ditepi kali,
Buat menyimbah si tuan puteri;
Berputus asa jangan sekali,
Jadikan tabah pakaian diri.

Betik muda buat halwa,
Kelapa muda santan dirasa;
Biar muda di dalam jiwa,
Dari tua sebelum masa.

Lingua Franca- Bahasa Melayu

 BUKAN SIHIR, BUKAN MITOS, TAPI KUASA EMPAYAR: INILAH SEBAB SEBENAR BAHASA KITA PERNAH DIJERITKAN DI SEPARUH DUNIA


Bila bercakap soal jati diri dan kehebatan bangsa, ramai antara kita hari ini yang tercari-cari dahan untuk berpaut. Ada yang sibuk menggali cerita dongeng, ada yang sibuk menokok tambah sejarah supaya nampak gempak.

Padahal, kita terlupa satu "harta" paling besar yang ada depan mata, yang kita guna hari-hari untuk memaki hamun atau bersembang kosong di kedai kopi.

Harta itu ialah Bahasa Melayu. Sedar atau tidak, bahasa yang korang pandang enteng hari ini pernah menjadi "Raja" yang menakluk lidah jutaan manusia di separuh muka bumi ini suatu ketika dahulu.

Ini adalah satu realiti yang sepatutnya buat bulu roma kita meremang kerana bangga. Korang tahu tak bagaimana Bahasa Latin boleh tersebar ke seluruh pelosok Eropah sampai jadi asas kepada banyak bahasa moden hari ini?

Jawapannya bukan sebab bahasa itu sedap didengar, tetapi kerana kekuasaan Empayar Rom yang menaungi wilayah yang sangat luas. Di mana askar Rom berpijak, di situ Latin berbunyi.

Sama juga halnya dengan Bahasa Inggeris. Kenapa hari ini satu dunia terhegeh-hegeh nak belajar cakap Orang Putih? Kenapa ia jadi bahasa nombor satu dunia? Sebab Empayar British pernah menjajah satu perempat dunia sampaikan orang kata "Matahari tak pernah terbenam di Empayar British".

Kuasa politik dan ketenteraan mereka memaksa dunia tunduk kepada bahasa mereka. Bahasa adalah simbol kepada siapa yang memegang kuasa hegemony pada zaman tersebut.

Haa, sekarang cuba cermin diri kita balik. Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca atau bahasa perantaraan utama di rantau Nusantara ini, malah tersebar dari Madagascar di Afrika sehinggalah ke kepulauan Pasifik. Ini bukan berlaku secara kebetulan atau nasib.

Ini berlaku kerana nenek moyang kita adalah pembina empayar yang hebat, bijak, dan berkuasa. Kita ada Empayar Srivijaya yang mengawal laluan perdagangan selat, kita ada Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi pusat dagang dunia, dan kita ada Empayar Johor-Riau serta Brunei yang menyambung legasi itu.

Kekuasaan empayar-empayar Melayu inilah yang menjadi asbab utama bahasa kita tersebar luas. Apabila pelabuhan kita menjadi hub antarabangsa, apabila pedagang dari segenap pelosok dunia wajib singgah di sini untuk berdagang, mereka tidak ada pilihan lain.

Nak cari makan di sini? Wajib cakap Melayu. Nak beli rempah? Wajib cakap Melayu. Nak minta surat kebenaran berniaga daripada Syahbandar? Lagilah wajib fasih berbahasa Melayu.

Cuba bayangkan suasana di pelabuhan Melaka pada zaman kemuncaknya. Rekod Portugis, musuh yang menjajah kita pun mengakui fakta ini. Tome Pires mencatatkan bahawa terdapat lebih daripada 80 bahasa yang dipertuturkan di Melaka.

Pedagang datang dari Jepun, dari China, dari Gujerat, dari Parsi, dari Arab, hinggalah dari Benua Eropah. Ratusan kapal berlabuh, ribuan manusia bersesak. Tetapi, bila mereka semua turun ke darat, segala bahasa ibunda mereka terpaksa disimpan kemas dalam kocek.

Bahasa perantaraan yang menyatukan lidah pedagang Jepun dengan pedagang Arab, atau pedagang Jawa dengan pedagang India, hanyalah satu: Bahasa Melayu.

Inilah definisi sebenar kuasa. Orang asing yang datang dengan kapal besar, yang datang dengan modal berjuta-juta, terpaksa "memelayukan" diri mereka semata-mata untuk survival ekonomi.

Mereka tak datang sini untuk mengajar kita cakap bahasa mereka, tetapi mereka yang terhegeh-hegeh belajar nahu dan kosa kata kita.


Sebab apa?


Sebab kita tuan rumah. Kita pemegang kunci gudang kekayaan Timur. Kita yang tentukan peraturan dalam permainan dan peraturan utamanya ialah bahasa kita.

Ada satu petikan yang sangat "pedih" tetapi membanggakan daripada seorang sarjana Belanda bernama François Valentijn yang hidup pada abad ke-17. Ayat dia ni kalau korang baca betul-betul, sepatutnya buat korang rasa malu kalau tak pandai cakap Melayu dengan betul.

Valentijn mencatatkan bahawa Bahasa Melayu pada zaman itu sudah menjadi bahasa ilmu dan bahasa tamadun yang setaraf dengan Bahasa Latin di Eropah atau Bahasa Perancis.

Apa yang lebih menarik, Valentijn menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang berada di rantau Timur ini, tidak kira dia orang Putih atau orang Asia, jika dia tidak memahami Bahasa Melayu, dia akan dianggap sebagai orang yang "bodoh" dan tidak berpelajaran.

Dengar tu? "Bodoh". Itu bukan saya yang cakap, itu orang Belanda yang cakap. Maknanya, darjat Bahasa Melayu masa tu adalah penanda aras kepada intelektual seseorang. Kalau kau tak reti cakap Melayu, kau dianggap orang hutan yang tak bertamadun dan tak layak duduk semeja dengan orang-orang besar.

Betapa tingginya martabat bahasa kita masa tu sampaikan orang luar pun takut dilabel bodoh kalau tak fasih. Tapi hari ini? Situasi dah terbalik. Ada segelintir anak Melayu sendiri rasa malu nak cakap Melayu. Rasa tak "standard", rasa tak "urban".

Lagi rela agungkan bahasa asing sampai lidah sendiri berbelit. Inilah punca kenapa kita makin hilang jati diri. Kita dah lupa bahawa bahasa yang kita perlekehkan ni pernah menjadi bahasa diplomatik dan bahasa ekonomi dunia.

Bukan setakat bahasa pasar untuk jual beli ikan, Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang sangat tinggi kapasitinya. Ramai yang tak tahu, atau buat-buat tak tahu, bahawa terdapat lebih 11,000 manuskrip lama yang bertulis dalam Bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang tersimpan di seluruh dunia hari ini.

Manuskrip-manuskrip ni bukan cerita dongeng pengantar tidur semata-mata. Ini adalah khazanah ilmu yang membahaskan topik-topik berat dan kompleks.

Dalam ribuan manuskrip ini, nenek moyang kita menulis tentang Perubatan, tentang Falsafah, tentang Ilmu Falak dan Bintang, tentang Sains, tentang Undang-undang, dan tentang Teologi atau Agama.

Tokoh-tokoh agung macam Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, dan Syeikh Arsyad Al-Banjari, mereka semua ini menulis karya-karya masterpiece dalam Bahasa Melayu.

Mereka membahaskan soal metafizik yang rumit, soal ketuhanan yang mendalam, dan soal hukum fikah yang kompleks, semuanya dalam bahasa ibunda kita.

Ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu ada kapasiti intelektual dan kosa kata yang cukup luas dan tepat untuk membincangkan perkara-perkara abstrak dan saintifik, setaraf dengan Bahasa Arab dan Bahasa Parsi yang mendominasi dunia Islam ketika itu. Kita bukan sekadar pengguna ilmu, kita adalah pengeluar dan penyebar ilmu dalam bahasa sendiri.

Jadi, kepada golongan yang masih sibuk nak cari "identiti" dengan mereka-reka cerita pelik di media sosial, saya nasihatkan berhentilah. Korang tak payah susah-susah nak reka cerita fantasi untuk rasa hebat. Cukup korang kaji balik dan fahamkan betapa luasnya pengaruh Bahasa Melayu ni dulu. Itu dah cukup untuk buat korang mendabik dada dengan penuh bangga yang berasas.

Kita pernah menjadi bangsa yang mana orang luar terpaksa belajar bahasa kita untuk terus hidup. Kita pernah menjadi bangsa yang mana ilmu-ilmu tinggi ditulis dan disebarkan dalam bahasa kita.

Kita adalah bangsa pelaut dan pedagang yang menguasai laluan perdagangan paling sibuk di dunia dengan bahasa kita sebagai kuncinya. Itu fakta. Itu sejarah yang tercatat dalam rekod dunia. Dan itu bukan mitos.

Kalau korang betul-betul nak jadi pejuang bangsa, benda pertama korang kena buat ialah ubah sikap malas membaca. Carilah buku-buku sejarah yang sahih, yang ditulis berdasarkan kajian akademik seperti buku "Melayu, Laut dan Perdagangan" tu. Dr dan pakar sejarah yang tulis. Orang Melayu juga. 

Hadamkan fakta dalam tu. Tengok macam mana nenek moyang kita bina empayar, bina undang-undang laut, dan bina jaringan perdagangan antarabangsa yang menjadikan bahasa kita begitu dominan.

Jangan jadi tin kosong yang bunyi je kuat di Facebook tapi isi tak ada. Jangan jadi badut sejarah yang memalukan bangsa dengan teori konspirasi yang tak masuk akal.

Jadilah Melayu yang berilmu, yang tahu akar umbi, dan yang berpijak di bumi nyata. Kekuatan kita ada pada sejarah pencapaian kita yang sebenar, pada bahasa kita yang pernah menakluk dunia, bukan pada angan-angan kosong.

Ingat pesan saya, sejarah takkan tunduk pada emosi korang. Sejarah hanya tunduk pada fakta dan bukti. Dan faktanya ialah, Bahasa Melayu pernah menjadi raja di lidah manusia separuh dunia.

Kalau itu tak cukup hebat bagi korang, saya tak tahu lah korang nak apa lagi. Mungkin korang memang suka hidup dalam mimpi sampai bila-bila.Fakta tetap fakta. Bahasa Jiwa Bangsa. Moga kita semua celik sejarah yang sebenar.




kredit: srikandi sarah


Melayu Dan lautan

 BILA DAH KALAH HUJAH, MULA MAIN LUCAH: ADAKAH INI WAJAH SEBENAR "PEJUANG BANGSA" KITA?


Ada satu komen yang buat saya rasa nak muntah bila membacanya. Bukan sebab hujah dia terlalu hebat atau fakta dia terlalu padu, tetapi sebab betapa jijik dan rendahnya tahap pemikiran penulisnya.

Hamba Allah bernama Adie Setiu ini tanpa segan silu menulis komen berbunyi, "puan ada masalah dgn otok ke ..? atau puan ada masalah lama tak dapat batangnya....?" semata-mata kerana dia tidak bersetuju dengan teguran saya mengenai sejarah palsu.

Allahu, macam inikah kualiti pemikiran orang Melayu yang mengaku beragama Islam hari ini?

Bila akal sudah tidak mampu memproses fakta, bila hujah sudah mati di hujung lidah, maka nafsu binatanglah yang akan mengambil alih. Inilah bukti betapa bebalnya sebahagian daripada bangsa kita yang kononnya terpaling pejuang Melayu. (Saya tak cakap semua ye, sebilangan yang sedikit sahaja) 

Mereka melenting bila ditegur, mereka meroyan bila mitos mereka dipecahkan, tapi bila diminta hujah balas, mereka hanya mampu mengeluarkan ayat-ayat lucah yang memalukan keturunan sendiri. Adakah ini warisan kehebatan yang ingin kita banggakan kepada dunia luar?

Sikap sebeginilah yang sebenarnya menjadi racun dalam nadi bangsa kita. Lepas tu bila bangsa kita mundur, bila kita diperbodohkan oleh bangsa asing, bila tanah kita tergadai, kita sibuk menyalahkan Yahudi, menyalahkan Freemason, menyalahkan konspirasi dunia.

Padahal musuh sebenar ada di depan cermin kita sendiri. Musuh itu adalah sikap malas membaca, taksub buta tuli, dan kegemaran memaki hamun dengan bahasa kesat apabila ego tercabar.

Korang nak sangat bukti kehebatan Melayu yang sebenar, kan? Korang nak rasa bangga, kan? Baiklah, mari saya tunjukkan apa itu kehebatan sebenar. Bukan cerita dongeng terbang-terbang macam Superman yang korang kutip dari novel fiksyen Cina, dan bukan cerita kartun kononnya kita mengajar Rom buat kapal.

Kehebatan Melayu yang sebenar terpahat dalam rekod akademik yang sahih, dalam manuskrip yang berdebu yang korang tak pernah nak belek sebab sibuk layan TikTok.

Buka mata dan hadamkan fakta ini. Dalam buku akademik "Melayu, Laut dan Perdagangan" yang mengkaji manuskrip lama, jelas membuktikan bahawa nenek moyang kita adalah "Raja di Laut" yang mempunyai sistem pentadbiran yang jauh lebih canggih daripada apa yang korang sangkakan.

Kita tidak perlukan pengiktirafan Rom untuk menjadi hebat kerana kita sudah membina undang-undang laut kita sendiri ketika Eropah masih meraba-raba dalam kegelapan.

Perkara pertama yang korang kena tahu, Kesultanan Melayu Melaka sudah mempunyai satu set undang-undang maritim yang sangat lengkap dan terperinci yang dikenali sebagai Undang-undang Laut Melaka.

Undang-undang ini bukan digubal oleh orang politik yang sembang kencang, tetapi ia disusun oleh pakar-pakar pelayaran sebenar. Nama-nama nakhoda agung seperti Nakhoda Jenal, Nakhoda Diri, dan Nakhoda Sahak tercatat kemas dalam sejarah sebagai arkitek kepada kod perundangan ini.

Mereka inilah the real unsung heroes, bukannya watak fiksyen yang korang agung-agungkan itu.

Undang-undang ini wujud atas desakan para nakhoda sendiri yang mahukan satu peraturan standard untuk mengawal selia aktiviti di lautan yang penuh cabaran. Sultan Mahmud Syah memberikan perkenan, menjadikan ia satu dokumen rasmi yang diguna pakai secara meluas.

Ini membuktikan bahawa bangsa Melayu pada zaman itu adalah bangsa yang hidup bersistem, berorganisasi, dan mementingkan rule of law. Kita bukan bangsa gasar yang main redah lautan ikut sedap hati tanpa peraturan.

Lebih mengagumkan, struktur organisasi di atas kapal Melayu pada zaman itu adalah cerminan kepada struktur pentadbiran kerajaan di darat. Kapal bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi ia adalah sebuah "negara kecil" yang terapung.

Nakhoda dianggap sebagai Raja di laut yang memegang kuasa mutlak. Segala titah perintahnya wajib dipatuhi oleh anak kapal dan penumpang, persis seperti rakyat mentaati raja. Ini menunjukkan betapa tingginya disiplin maritim orang Melayu ketika itu.

Di bawah Nakhoda, wujud jawatan-jawatan penting yang mempunyai fungsi spesifik. Jurumudi, contohnya, diibaratkan sebagai Bendahara yang menjadi orang kanan nakhoda. Manakala Jurubatu pula memegang peranan seperti Temenggung yang menjaga keamanan dan disiplin di atas kapal.

Malah, ada jawatan Tukang Agung dan Tukang Kanan yang bertindak sebagai jurutera teknikal. Sistem hierarki yang kompleks ini membuktikan bahawa pengurusan kapal Melayu adalah sangat sistematik, bukannya kerja sambil lewa.

Bukan itu sahaja, kehebatan Melayu juga terserlah dalam sistem ekonomi dan perdagangan maritimnya. Pernah dengar istilah "Kiwi"? Saya yakin ramai daripada "pejuang bangsa" di luar sana tak pernah dengar pun istilah ni sebab sibuk sangat dengan teori konspirasi.

Kiwi bukanlah buah, tetapi istilah rasmi dalam Undang-undang Laut Melaka yang merujuk kepada pedagang yang menyewa petak atau ruang kargo di dalam kapal untuk berniaga. Mereka ini adalah pemodal yang belayar bersama nakhoda.

Sistem ini sangat teliti sehinggakan ada peraturan khusus mengenai giliran berniaga bila kapal berlabuh di pelabuhan. Undang-undang menetapkan bahawa apabila kapal sampai ke destinasi, Nakhoda mempunyai hak istimewa untuk turun berniaga dahulu selama empat hari.

Selepas tempoh itu tamat, barulah para Kiwi dibenarkan berniaga selama dua hari, sebelum dibuka kepada anak-anak kapal yang lain.

Nampak tak betapa teraturnya sistem ekonomi nenek moyang kita? Semuanya disusun rapi untuk mengelakkan perebutan pasaran dan menjaga kepentingan semua pihak dari nakhoda sampailah ke pedagang kecil.

Inilah mentaliti kelas pertama. Inilah tamadun. Bangsa yang ada undang-undang perniagaan sebegini tidak perlukan cerita dongeng "ajar Rom" untuk membuktikan mereka bijak. Kecerdikan mereka terpancar melalui sistem pengurusan yang efisien dan adil.

Malah, Undang-undang Laut Melaka ini begitu berpengaruh sehingga ia disalin dan diadaptasi oleh kerajaan-kerajaan lain di Nusantara. Kita boleh lihat pengaruhnya dalam Undang-undang Kedah, Undang-undang Laut Riau, dan Undang-undang Johor.

Ini menunjukkan bahawa Melaka bukan sahaja pusat perdagangan, tetapi juga pusat rujukan intelektual dan perundangan bagi rantau ini. Kita adalah pengeksport sistem perundangan, bukan sekadar pengeksport rempah ratus.

Orang Melayu juga bijak memanfaatkan alam. Sementara kapal-kapal Rom dan Mediterranean bergantung kepada tenaga ratusan hamba abdi untuk mendayung galeri mereka, kapal-kapal Melayu direka untuk menunggang angin monsun.

Kita membina kapal-kapal besar (Jong) yang menggunakan sistem layar yang canggih, membolehkan kita menjelajah lautan luas dari China hingga ke Afrika tanpa perlu menyeksa tenaga manusia.

Ini adalah kejuruteraan, ini adalah sains, bukannya sihir terbang atau ilmu ghaib.

Jadi, kepada Adie Setiu dan sekutu-sekutunya yang berfikiran singkat, simpanlah sikit "kebodohan" itu untuk kegunaan hari tua. Jangan habiskan semuanya sekarang.

Tindakan memaki hamun dengan bahasa lucah hanya menelanjangkan kedangkalan akal sendiri. Ia tidak membela Melayu, malah ia memfitnah Melayu sebagai bangsa yang tidak beradab, emosional dan otak lucah!

Kalau betul kalian nak perjuangkan maruah bangsa, mulakanlah dengan membaca. Gali khazanah ilmu sebenar yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita seperti Undang-undang Laut ini.

Fahami bagaimana mereka membina sistem, bagaimana mereka mentadbir, dan bagaimana mereka berniaga. Itulah "ilmu" sebenar yang patut kita warisi, bukan mitos-mitos karut yang hanya menyedapkan hati yang lara.

Seorang sarjana pernah berpesan, "Bangsa yang tidak belajar daripada sejarahnya yang sebenar akan dihukum untuk mengulangi kesilapan masa lalu."

Jangan sampai kita jadi badut yang mentertawakan diri sendiri di pentas dunia, sibuk mendabik dada dengan fantasi sedangkan realiti di depan mata kita biarkan punah.


Fakta tetap fakta. Adab adalah cerminan bangsa. Kalau adab pun dah ke laut, jangan mimpi nak jadi tuan di tanah sendiri.

kredit: Facebook/Srikandi Sarah

Letupan Gunung Berapi

Gunung berapi Ethiopia meletus selepas ribuan tahun


DAKAR (Ethiopia): 

Gunung berapi Hayli Gubbi di Ethiopia meletus buat kali pertama dalam tempoh ribuan tahun, lapor agensi berita Jerman dpa.

Menurut Pusat Bantuan Kemanusiaan dan Perlindungan Awam Kesatuan Eropah (ECHO), abu letusan setinggi 8.5 kilometer itu bergerak ke arah timur merentasi Semenanjung Arab.

Ruang udara di Yaman dan Oman antara kawasan yang terjejas, manakala imej satelit turut menunjukkan pelepasan sulfur dioksida.

Menurut ECHO, kira-kira 9,000 penduduk berada dalam lingkungan 30 kilometer dari kawasan gunung berapi dan berpotensi terjejas.

Balai Cerap Gunung Berapi di Toulouse, Perancis memaklumkan bahawa letusan itu kini berakhir dengan debu terus bergerak menuju Pakistan.

Letusan itu dianggap sebagai aktiviti pertama Gunung Hayli Gubbi yang direkodkan sejak ribuan tahun dan sedang dipantau rapat oleh pakar.

Tiada penilaian lanjut mengenai kemungkinan kesan terhadap komuniti setempat setakat ini.



kredit: bernama