Kalau dulu ramai ingat prasekolah ni cuma tempat anak belajar menyebut huruf dan warna, tapi sebenarnya sekarang dah tak macam tu sebab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dah memperkenalkan Kurikulum Prasekolah 2026, yang akan mula dilaksanakan Januari 2026.
Kurikulum ni bukan sekadar tentang apa anak-anak belajar, tapi macam mana mereka belajar dengan lebih menyeronokkan, seimbang dan penuh makna. Jom tengok 5 perkara penting yang korang (terutama mak ayah) patut tahu!
1. Kurikulum Baharu, Pendekatan Baharu
Kurikulum Prasekolah 2026 dibangunkan berasaskan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027, dengan tumpuan kepada pembelajaran berorientasikan kompetensi.
Maksudnya, anak-anak bukan je belajar fakta atau hafalan, tapi diasah dari segi kemahiran, nilai serta sikap yang membolehkan mereka menggunakan apa yang dipelajari dalam situasi sebenar kehidupan.
Nak anak seimbang dari segi emosi, sosial, dan intelek? Inilah caranya!
Pembelajaran dijalankan melalui bermain kerana pada masa inilah anak-anak belajar paling cepat – bila mereka seronok, bebas mencuba dan gembira meneroka.
2. Ibu Bapa, Korang Sebenarnya ‘Guru Pertama’ Untuk Anak-Anak!
Dalam Kurikulum Prasekolah 2026, pelibatan ibu bapa bukan lagi pilihan tapi kunci utama kejayaan anak.
Korang bukan sekadar hantar anak ke sekolah, tapi juga penyokong utama dari rumah.
Macam mana nak libatkan diri?
Baca bersama anak — tak kisah sebelum tidur atau waktu santai, ini bantu pupuk minat membaca.
Berkomunikasi dengan guru — kongsi tabiat, minat dan keperluan anak supaya pembelajaran lebih berkesan.
Wujudkan kesinambungan rumah-sekolah dan sebaliknya — apa yang anak belajar di sekolah, teruskan di rumah dan apa yang anak belajar di rumah, teruskan di sekolah.
Sertai aktiviti sekolah — hari sukan, gotong-royong atau lawatan sambil belajar
Bila anak nampak mak ayah ambil berat, automatik keyakinan diri dan semangat belajar mereka semakin meningkat!
3. Waktu Rehat Pun Ada Nilainya
Waktu rehat bukan sekadar masa makan atau minum, dalam kurikulum baharu ni, waktu rehat sebenarnya masa belajar yang penting. Bayangkan 40 minit sehari dapat bantu si kecil belajar berdikari.
Contohnya, bila anak susun meja, bantu sediakan makanan, cuci tangan atau kemas cawan dan pinggan sendiri, semua tu sebenarnya aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembentukan karakter.
Dari situ, anak belajar tanggungjawab, kerjasama, disiplin dan adab – perkara kecil yang bantu bentuk diri mereka jadi lebih berdikari dan berakhlak.
Kalau mak ayah sambung rutin ni di rumah, kesannya lebih kuat dimana anak-anak akan lebih yakin dan mampu urus diri sejak kecil.
4. Anak Prasekolah Pun Dah Celik Teknologi
Zaman sekarang, budak 5 tahun pun dah pandai guna tablet kan? Sebab tu Kurikulum Prasekolah 2026 turut perkenalkan dunia digital secara selamat dan beretika – cara guna peranti dengan bijak, tahu bila nak hadkan masa depan skrin dan cara cari maklumat dengan betul.
Bukan sekadar tahu tekan-tekan skrin, tapi faham cara guna teknologi untuk kebaikan diri dan orang lain sejak kecil.
5. Guru & Ibu Bapa — Team Hebat Bentuk Generasi Masa Depan
Kejayaan kurikulum ni bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk guru, ibu bapa, komuniti dan KPM sendiri.
Guru bukan sekadar mengajar anak-anak, tapi juga jadi pemudah cara dan penyokong kepada ibu bapa, kongsi tips, aktiviti dan panduan untuk teruskan pembelajaran di rumah.
Bila dua pihak ni bekerjasama, suasana belajar jadi lebih menyeronokkan dan anak-anak rasa disokong sepenuhnya di sekolah dan di rumah.
Demi masa depan anak-anak yang lebih baik
Kurikulum Prasekolah 2026 ni bukan sekadar tentang akademik, tapi juga tentang membentuk insan sejahtera yang sihat tubuh badan, cerdas minda dan kaya budi pekerti.
Dengan kerjasama erat antara guru dan ibu bapa, anak-anak bukan je bersedia untuk ke sekolah rendah, tapi juga untuk kehidupan sebenar nanti.
Jadi, jom sama-sama kita jadi sebahagian daripada perjalanan baharu pendidikan prasekolah ni sebab setiap langkah kecil anak hari ni, bakal membentuk masa depan besar di esok hari.
kredit: oh bulan
No comments:
Post a Comment