Raket
Pearly-Thinaah enggan dabik dada
November 17, 2025 @ 12:20pmPearly Tan-M Thinaah menjadi wakilpertama negara menjulang gelaran diMasters Kumamoto, Jepun. - Foto Masters Kumamoto
KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah enggan mendabik dada biarpun terus mempamerkan prestasi konsisten dan cemerlang sepanjang musim ini.
Semalam, pasangan nombor dua dunia itu sekali lagi membuktikan yang mereka berada dalam kelas tersendiri apabila bangkit di kedua-dua set untuk menjuarai Masters Kumamoto di Jepun.
Mereka menundukkan gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Kejayaan terbaru itu menambah koleksi gelaran mereka tahun ini selepas turut menjuarai Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland, menjadikan tiga kejuaraan musim 2025 setakat ini.
Secara keseluruhan, Pearly-Thinaah kini memiliki enam gelaran Jelajah Dunia BWF termasuk Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022 dan Terbuka Hong Kong 2024.
Mereka turut mencipta sejarah tersendiri apabila muncul naib juara dunia di Paris, Ogos lalu
Dengan rekod semasa yang digenggam, pasangan ini sudah melepasi pencapaian beberapa beregu wanita terbaik negara era sebelum ini seperti Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai beregu wanita paling berjaya dalam era moden badminton Malaysia.
Bagaimanapun, Thinaah mengakui kejayaan di Kumamoto bukan alasan untuk berpuas hati.
"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, tetapi masih banyak perkara yang perlu kami pelajari dan perbaiki.
"Buat masa ini, kami akan meraikan detik ini, kekal merendah diri dan terus fokus untuk cabaran seterusnya," kata Thinaah.
Beberapa jam selepas bergelar juara di Jepun, Pearly-Thinaah membuat keputusan menarik diri daripada saingan Terbuka Australia yang bermula Selasa ini.
Langkah itu diambil bagi memberi fokus penuh kepada persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand dari 7 hingga 14 Disember, sebelum menutup musim dengan cabaran Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember depan.
kredit: beritaharian
No comments:
Post a Comment