Aidilfitri Dulu-dulu
1. Aidilfitri tahun ini, tahun Hijrah 1447, jatuh pada hari Sabtu, 21 Mac. Sehari di belakang banyak negara di dunia, termasuk Arab Saudi yang lima jam terkebelakang daripada kita.
2. Saya ucapkan Eid Mubarak kepada semua sahabat dan pengikut (followers) ruangan ini serta kenalan sekalian. Bergembira tetapi biar selamat.
3. Teringat raya zaman kanak-kanak dan remaja di kampung pada tahun 1950-an dan 60-an dulu.
4. Menggigil mandi sunat Aidilfitri di perigi tanah liat yang sejuk airnya. Kenakan pakaian baru, syut (suits) Melayu atau fesyen biasa dan kasut baru. Kasut kanvas berjenama Bata, bagi yang lebih mampu, dan Fung Keong bagi yang lain.
5. Ke masjid atau madrasah untuk sembahyang raya. Waktu itu surau belum popular kerana madrasah (sekolah agama) lebih berleluasa.
6. Zaman itu, berbaju baru pada hari raya adalah literal. Bagi banyak kanak-kanak dan orang dewasa, itulah hari mereka berpisah seketika daripada pakaian lusuh yang koyak-rabak.
7. Itu pun hanya separuh hari. Sebelah petang ramai akan kembali dengan pakaian basahan kerana ada sawah, kerbau dan lembu untuk diuruskan.
8. Di masjid dan madrasah, gendang dipalu tidak berhenti-henti bagi mengingatkan jemaah tentang waktu sembahyang.
9. Oleh sebab penduduk tinggal bercempera dan jauh, sembahyang raya mungkin lewat hingga pukul sepuluh. Waktu itu istilah solat belum popular.
10. Bagi kami budak-budak, habis saja sembahyang, kami pun serbu sebanyak mungkin rumah untuk kutip duit raya.
11. Makan tak berapa penting. Mungkin di rumah pertama atau kedua saja betul-betul makan. Selebihnya untuk kutip duit raya. Sepuluh, dua puluh sen biasa. Lima puluh sen bertuah. Kalau dapat tiga atau empat ringgit sepanjang hari sudah kira cukup besar.
12. Menjelang tengah hari, sudah cukup duit untuk makan mi rebus sotong dengan air sarbat di kedai Mamak Mydin (Almarhum ayahanda Ayob Khan Mydin Putchay).
13. Lepas itu balik rumah masing-masing untuk merawat kaki yang melecur digesel kasut baru sebab tak berstokin. Kerana kekenyangan terus tertidur.
14. Sebelah petang, dalam pukul empat, kayuh basikal lima kilometer ke tanah perkuburan untuk ziarah kubur saudara mara. Di situ pun ada peluang dapat duit raya daripada pelawat.
15. Menjelang raya dan beberapa hari selepasnya, bermain mercun dan meriam buluh adalah kebiasaan. Kalau mati pun tak masuk surat khabar.
16. Kejadian mula puasa dan raya tidak sama hari pun biasa. Sampai ada yang dihadapkan ke Mahkamah Kadi kerana tidak ikut arahan. Waktu itu maklumat susah disampaikan.
17. Maaf zahir batin.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment