Nuffnang

IkutSukaLu

Syarat utama capai dan , bersedia berubah dan menerima perubahan.
tidak bererti

Fly

Fly
Ini blog lu, lu punya fikiran, lu punya persepsi, lu punya selera, lu punya suka apa lu nak conteng dan luahkan kat cni.
PERHATIAN..!!! Ini blog ..., dengan penggunaan bahasa serta yang mungkin keterlaluan bagi sesetengah pihak, jika boleh terima konsepnya teruskan pembacaan, jika sebaliknya dengan penuh hormat dipersilakan 'logout' secepat mungkin. Supaya tidak menyakitkan hati. Berkemungkinan juga bakal membuatkan sesetengah pihak (pembaca) menjadi gila meroyan dengan menambahkan di sini.
puashati...??? Email sama lu: zebraduka@gmail.com

Monday, January 12, 2026

12 Januari 2026

 Assalamualaikum & salam sejahtera ibu bapa yang dihormati.

Aktiviti pembelajaran anak-anak pada hari ini berjalan dengan baik. Antara aktiviti yang dijalankan ialah:

• Pengenalan dan pembelajaran adab masuk tadika

• Pembelajaran adab makan

• Pembelajaran adab masuk tandas

• Hafazan doa makan

• Aktiviti mewarna bertemakan “Tadika Ku”

• Aktiviti mengenal sahabat-sahabat

Alhamdulillah, anak-anak memberi kerjasama yang sangat baik dan kelihatan seronok sepanjang aktiviti dijalankan. Terima kasih atas sokongan ibu bapa semua 🌸












Setelah selesai aktiviti mewarna, anak-anak diberikan masa untuk merehatkan minda dengan aktiviti bermain Roblox secara terkawal dan berperingkat.

Aktiviti ini bertujuan memberi ruang kepada anak-anak untuk berehat, bergembira dan meningkatkan fokus sebelum meneruskan aktiviti seterusnya.

 Alhamdulillah, anak-anak sangat teruja dan gembira 🌸












Sunday, January 11, 2026

Skandal ATM

 January 9, 2026

Risau skandal ATM jejas siap siaga keselamatan


KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai institusi teras pertahanan negara perlu dipelihara bukan sahaja dari sudut keupayaan ketenteraan tetapi juga dari aspek integriti, disiplin dan profesionalisme tertinggi

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian susulan laporan media mengenai dakwaan salah laku, penyelewengan dalam perolehan pertahanan serta keruntuhan disiplin melibatkan anggota ATM, termasuk penganjuran aktiviti tidak bermoral di kawasan kem tentera.

Menurutnya, dakwaan melibatkan rasuah dalam proses perolehan pertahanan adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana ia berpotensi menjejaskan kesiapsiagaan operasi, keselamatan anggota serta keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

“Saya memandang serius laporan media baru-baru ini dan menyokong sepenuhnya agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, bebas dan tanpa sebarang kompromi oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertahanan,” katanya.

Tambah beliau, prinsip kebertanggungjawaban mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan

“Dalam masa yang sama, isu berkaitan disiplin dan moral dalam kalangan anggota tentera tidak wajar dipandang ringan. ATM dibina atas asas nilai, disiplin dan etika yang tinggi.

“Sebarang tingkah laku yang mencemarkan imej pasukan keselamatan negara perlu ditangani secara tegas, berhemah dan berteraskan pemulihan institusi,” hujahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Martina turut menyokong usaha Jawatankuasa Pilihan Keselamatan Parlimen untuk memanggil pihak berkaitan bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan lebih berkesan serta menjamin ketelusan tadbir urus sektor pertahanan.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak agar mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan moral anggota ATM.

“Saya menyeru agar semua pihak mengelakkan spekulasi berlebihan yang boleh menjejaskan semangat dan moral anggota ATM yang majoritinya berkhidmat dengan penuh dedikasi dan pengorbanan.

“Tumpuan harus diberikan kepada memperkukuh institusi, menegakkan integriti, dan memastikan angkatan pertahanan negara kekal dihormati serta diyakini oleh rakyat,” katanya.

Terdahulu pada 24 Disember lalu, SPRM merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berhubung maklumat berkaitan dakwaan aliran tunai besar ke dalam akaun seorang pegawai Tentera Darat dan ahli keluarganya.

Dalam perkembangan sama, tular di media sosial dakwaan mengenai budaya tidak sihat yang diamalkan segelintir pegawai ‘seragam loreng’ di dalam mes kem tentera.

Budaya berkenaan dikatakan melibatkan penyalahgunaan kuasa, pergaulan tidak bermoral serta amalan yang bercanggah dengan etika perkhidmatan. 


– HARAKAHDAILY 9/1/2026
















































Friday, January 9, 2026

NFA: Politik atau Undang-Undang?

NFA: Politik atau Undang-Undang?


1. Natijahnya, kalau Anwar Ibrahim yang dua kali masuk penjara kerana salah guna kuasa dan liwat boleh diampunkan dan naik jadi Perdana Menteri, dan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes prima facie jadi Timbalan Perdana Menteri, dapat DNAA dan kini NFA, mana-mana pun penjenayah ada harapan jadi Perdana Menteri. 

2. Syaratnya orang itu ada duit, ada pengaruh politik dan ada sokongan dari kayangan. Satu-satunya banduan dalam kategori itu sekarang adalah bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak.

3. Akan tetapi, tindakan NFA (no further action/tiada tindakan lanjut) ke atas Ahmad Zahid semalam (8 Januari) boleh menumpulkan harapan Mohd Najib mendapat kelonggaran hukuman apatah lagi pembebasan dan pengampunan. 

4. Dengan pembebasan NFA yang diberikan oleh Peguam Negara itu, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno semakin kuat. Beliau tidak perlukan Mohd Najib lagi. 

5. Begitu juga dengan Anwar. Kedudukannya juga bertambah kuat. Pada 6 Januari, tiga hari sebelum NFA, Ahmad Zahid telah berikrar yang Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan Kerajaan Madani sehingga habis penggal.

6. Ahmad Zahid terpaksa buat janji itu kerana Konvensyen Pemuda Umno 3 Januari ada membayangkan supaya Umno keluar Kerajaan Madani dan jadi pembangkang.

7. Walaupun ada pendapat mengatakan Anwar tidak akan jatuh kalau Umno keluar, namun kehadiran parti Melayu itu sangat penting demi memberi keabsahan kepada pemerintahan beliau dengan membawa masuk sokongan orang Melayu.

8. Lagipun, mengukuhkan persepakatan dengan Ahmad Zahid melalui penganugerahan NFA adalah strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

9. Keputusan NFA ini boleh mengukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid dan menghapuskan saki baki sokongan terhadap Mohd Najib. Antara Ahmad Zahid dan Mohd Najib, Anwar tentu lebih takut kepada Mohd Najib dan selesa dengan Ahmad Zahid. 

10. Ditakdirkan Mohd Najib keluar penjara dan dapat pengampunan, beliau berkemungkinan diterima balik sebagai Presiden Umno - macam Anwar dengan PKR - dan naik jadi Perdana Menteri semula. 

11. Kalau Anwar yang dua kali masuk penjara atas kesalahan jenayah boleh naik jadi Perdana Menteri, mengapa tidak Mohd Najib? Tetapi harapan Mohd Najib mengulangi keajaiban Anwar itu tidak wujud lagi dengan keputusan kes 1MDB dan Perintah Adendum baru-baru ini.

12. Pembebasan dan pengampunan, macam yang baru berlaku ke atas Ahmad Zahid, dan sebelum itu ke atas Anwar sendiri, boleh dirangka melalui Pejabat Peguam Negara. 

13. Mungkin sebab itulah, pemberian NFA kepada Ahmad Zahid dilakukan di ambang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Pendakwa Raya daripada Peguam Negara bulan ini.

14. Sekarang Perdana Menteri hanya perlu berurusan dengan seorang,  iaitu Peguam Negara. Lepas ini dengan dua orang - Peguam Negara dan Pendakwa Raya. 

15. Anugerah NFA yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 kes prima facie ini dibuat ketika Anwar mendakwa beliau memerangi rasuah tanpa memilih bulu dan beberapa kes berprofil tinggi sedang disiasat, didakwa dan dibicarakan. 

16. Kesimpulannya, baik atau buruk anugerah NFA kepada Ahmad Zahid ini terpulanglah kepada Tuan-tuan, Puan-puan, Saudara dan Saudari sekalian menilainya. 

17. Seperti ditekankan oleh Machiavelli dalam bukunya, The Prince, moraliti agama dan etika (scruples) tidak ada tempat dalam percaturan politik. Yang utama adalah kuasa dan pengekalan diri (self-preservation).


Wallahuaklam. Terima kasih. 


Sebab mutakhir untuk senyum lebar.


kredit: A Kadir Jasin

             fb

Tuesday, January 6, 2026

21 juta anak pokok bakau

 

Oleh BERNAMA
Januari 5, 2026 @ 11:55pm

Kerajaan Indonesia tanam 21 juta anak pokok bakau menerusi projek ketahanan pantai



JAKARTA: Kementerian Perhutanan Indonesia menanam kira-kira 21 juta anak pokok bakau di empat wilayah keutamaan antara 2024 dan 2025 menerusi projek Bakau untuk Daya Tahan Pesisir (M4CR), lapor agensi berita ANTARA.

Ketua Subdirektorat Pemulihan Hutan Bakau kementerian itu, Giri Suryanta, berkata usaha penanaman semula berkenaan meliputi kawasan seluas 15,574 hektar di Kalimantan Utara, Sumatera Utara, Riau dan Kalimantan Timur.

Beliau berkata penanaman bakau itu adalah sebahagian daripada tindakan iklim berasaskan alam semula jadi kerajaan bagi memperkukuh ketahanan pantai, selain bertujuan memulihkan ekosistem dan memperkasa komuniti pesisir pantai.

Menurut Suryanta, sebanyak 14.6 juta anak pokok bakau telah ditanam di kawasan seluas 13,307 hektar pada 2024 di bawah program M4CR.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1.2 juta anak pokok kini berada pada peringkat penyelenggaraan, terutama di Sumatera Utara dan Riau, katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pada 2024 turut merangkumi aktiviti penanaman, Program Sekolah Lapangan Rehabilitasi Bakau serta skim pembiayaan geran padanan, dengan pembabitan seramai 15,407 peserta.

Beliau berkata kementerian akan terus mengemas kini data berkaitan jumlah anak pokok yang diselenggara serta peserta program memandangkan pelaksanaan masih berjalan.

Suryanta menegaskan skala program M4CR mencerminkan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekosistem bakau secara berperingkat, tepat dan mampan.

Beliau berkata inisiatif berasaskan komuniti itu bukan sahaja memulihkan bakau sebagai benteng semula jadi pantai, malah menggalakkan penyertaan masyarakat secara lebih meluas dalam pengurusan sumber alam sekitar yang bertanggungjawab.


kredit: bharian














Sunday, January 4, 2026

Minum air suam

 

Januari 1, 2026 @ 11:38am


Apakah yang berlaku pada badan apabila minum air suam?





Untuk memastikan tubuh sentiasa segar, bertenaga dan berfungsi dengan baik, minum air suam secara konsisten. - Foto hiasan

AIR komponen terpenting dalam kehidupan manusia.

Tubuh kita terdiri daripada lebih separuh air, justeru pengambilan air mencukupi penting untuk memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik.

Dalam kehidupan seharian, ramai antara kita mengamalkan minum air suam kerana percaya, ia memberikan manfaat kesihatan.

Namun persoalannya, apakah yang sebenarnya berlaku pada badan apabila kita minum air suam?

Apabila seseorang minum air suam, perubahan pertama yang berlaku ialah peningkatan suhu dalam saluran penghadaman.

Suhu lebih tinggi ini membantu melonggarkan makanan yang terperangkap, melancarkan proses pencernaan dan mengurangkan masalah seperti kembung perut serta sembelit.

Air suam mampu merangsang pergerakan usus dengan lebih baik, sekali gus memudahkan proses pembuangan.

Hal ini berbeza dengan air sejuk yang kadangkala menyebabkan saluran penghadaman mengecut dan melambatkan proses pencernaan.

Oleh sebab itu, ramai pakar kesihatan menggalakkan pengambilan air suam pada waktu pagi untuk "mengaktifkan" sistem pencernaan.

Selain melancarkan pencernaan, minum air suam juga membantu meningkatkan kadar peredaran darah.

Apabila air suam memasuki tubuh, saluran darah akan sedikit mengembang, lalu memudahkan peredaran darah ke seluruh badan.

Peredaran darah yang lebih baik membawa lebih banyak oksigen dan nutrien ke organ penting seperti jantung, otak dan otot.

Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan tahap tenaga, malah membantu badan berfungsi dengan lebih cekap. Malah, individu yang sering mengalami tangan dan kaki sejuk juga dapat mengurangkan masalah tersebut dengan meminum air suam secara konsisten.

Pengambilan air suam turut memberi kesan terhadap metabolisme badan. Air yang bersuhu sedikit lebih tinggi daripada suhu bilik membantu merangsang proses pembakaran kalori, walaupun dalam jumlah yang kecil. Tubuh akan bekerja sedikit lebih keras untuk menyesuaikan suhu dalaman, sekali gus meningkatkan kadar metabolisme.

Ini menjadikan air suam sebagai salah satu amalan mudah yang boleh membantu mengekalkan berat badan ideal apabila digabungkan dengan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.

Selain itu, minum air suam juga membantu tubuh menyingkirkan toksin melalui proses detoksifikasi semula jadi.

Apabila suhu badan meningkat, kadar peluh dan aktiviti buah pinggang juga meningkat. Perkara ini melancarkan proses penyingkiran bahan buangan, sekali gus menjadikan tubuh berasa lebih segar dan ringan.

Ramai individu mendapati, minum air suam dapat mengurangkan rasa lenguh, meningkatkan mood dan memberikan sensasi relaksasi pada tubuh.

Air suam turut memberi manfaat kepada tekak dan sistem pernafasan.

Air yang hangat dapat melegakan sakit tekak, mengurangkan iritasi dan melegakan batuk. Bagi individu yang mengalami selsema atau masalah sinus, air suam membantu mencairkan lendir, memudahkan ia dikeluarkan.

Justeru, tidak hairanlah minum air suam sering menjadi amalan tradisional yang terbukti membantu melegakan ketidakselesaan pernafasan secara semula jadi.

Minum air suam sememangnya memberi banyak kesan positif terhadap tubuh manusia.



Amalan minum air suam bukan hanya sekadar petua lama, tetapi mempunyai penjelasan logik dari sudut kesihatan. - Foto hiasan

Daripada membantu pencernaan, meningkatkan peredaran darah, merangsang metabolisme hinggalah menyokong proses detoksifikasi, air suam memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dalaman. Manfaatnya juga dapat dirasai pada bahagian luar tubuh seperti kulit dan sistem pernafasan.

Oleh itu, amalan minum air suam bukan hanya sekadar adat atau petua lama, tetapi mempunyai penjelasan logik dari sudut kesihatan.

Untuk memastikan tubuh sentiasa segar, bertenaga dan berfungsi dengan baik, minum air suam secara konsisten adalah langkah mudah namun sangat bermanfaat untuk diamalkan.























































Saturday, January 3, 2026

TMM 2026


PM Lancar 'I Lite U', pacu TMM 2026


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang di sini malam ini bagi merasmikan peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan "I LITE U" yang bermatlamat memperkukuh kelestarian bandar.

Pelancaran yang berlangsung di hadapan Pavilion Kuala Lumpur itu turut bertujuan memperkasakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Ketibaan Anwar kira-kira jam 8 malam diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan disambut beberapa menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; beberapa timbalan menteri serta pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh yang juga Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Orang ramai daripada pelbagai kaum memenuhi sekitar Pavillion seawal jam 6 petang bagi memeriahkan pelancaran "I LITE U" itu.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tahun Melawat Malaysia 2026, diikuti persembahan kebudayaan serta tayangan video khas.

Program malam ini turut diserikan dengan perarakan besar-besaran melibatkan 16 kontinjen serta persembahan artis terkenal tempatan.

"I LITE U" melibatkan laluan utama sepanjang hampir satu kilometer di sekitar Bukit Bintang yang bertujuan menghidupkan suasana malam bandar dengan paparan pencahayaan memukau, sekali gus menyerlahkan keindahan landskap bandar menggunakan teknologi moden dan lestari selaras dengan agenda bandar rendah karbon.

Projek itu menampilkan rekaan lampu diod pemancar cahaya (LED) berkonsepkan lampu gantung, lampu bulan serta rekaan bertema dongeng, menggunakan teknologi cekap tenaga dengan pemasangan lebih 70 lampu LED.

'I LITE U' ialah akronim kepada Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, mampan ke arah Urbanisasi.


Disiarkan pada: Januari 3, 2026 @ 9:02pm


kredit: Metro




























AS lancar serangan

 Januari 3, 2026 @ 6:29pm


AS lancar serangan terhadap Venezuela, tangkap presiden Maduro


WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menangkap Presidennya, Nicolas Maduro.

Mengesahkan perkara itu, Presiden AS, Donald Trump hari ini berkata, Maduro kemudiannya dibawa keluar dari negara itu.

Untuk rekod, AS tidak pernah campur tangan secara langsung seperti itu di rantau Amerika Latin, sejak pencerobohan ke atas Panama pada 1989 bagi menggulingkan pemimpin tentera, Manuel Noriega.

"AS berjaya melakukan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro, yang ditangkap bersama isterinya dan diterbangkan keluar dari negara itu," katanya menerusi platform Truth Social.


Asap kelihatan berhampiran Fort Tiuna ketika gangguan bekalan elektrik sepenuhnya berlaku, susulan letupan dan bunyi kuat, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata AS melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro, di Caracas, Venezuela. – Foto REUTERS

Serangan dilancarkan AS selepas Washington menuduh Maduro mengetuai sebuah 'negara dadah' dan dakwaan memanipulasi pilihan raya.

Maduro, yang menggantikan Hugo Chavez dan mengambil alih kuasa pada 2013, menuduh Washington mahu menguasai rizab minyaknya, yang terbesar di dunia

Kerajaan Venezuela, dalam satu rakaman audio menerusi saluran televisyen rasmi negara, berkata ia tidak mengetahui di mana Maduro dan isterinya berada.

Sementara itu, seorang pegawai AS mengesahkan Maduro ditangkap oleh pasukan khas elit AS.

Kata Trump, beliau akan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi (1600 GMT) di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, ketika beliau hampir menamatkan percutian Krismas dan Tahun Baharu selama dua minggu.



Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, bersama isterinya, Cilia Flores, di Caracas. – Foto AFP


Dalam temu bual telefon ringkas bersama The New York Times, Trump memuji operasi itu sebagai 'cemerlang'.

"Banyak perancangan yang baik dan ramai anggota tentera serta individu yang hebat, benar-benar hebat," kata Trump seperti dipetik akhbar itu.

Pengumuman mengejutkan Trump itu dibuat selepas berbulan-bulan tekanan ketenteraan dan ekonomi AS yang semakin meningkat terhadap pemimpin berhaluan kiri itu serta ekonomi negaranya yang bergantung kepada eksport minyak.

Presiden AS itu pada Disember lalu berkata 'adalah bijak untuk (Maduro) meletakkan jawatan', selain menyatakan bahawa 'hari-hari pemimpin Venezuela itu sudah terhitung'.

Dakwaan Trump mengenai penahanan Maduro dibuat dua hari selepas Maduro cuba berhubung dengan Trump, dengan menawarkan kerjasama dalam memerangi pengedaran dadah dan migrasi haram. - AGENSI



Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri), berkata Presiden Venezuela, Nicolas Maduro (kanan), bersama isterinya ditahan selepas AS melancarkan serangan terhadap Venezuela. – Foto AFP


kredit: bharian