NFA: Politik atau Undang-Undang?
1. Natijahnya, kalau Anwar Ibrahim yang dua kali masuk penjara kerana salah guna kuasa dan liwat boleh diampunkan dan naik jadi Perdana Menteri, dan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes prima facie jadi Timbalan Perdana Menteri, dapat DNAA dan kini NFA, mana-mana pun penjenayah ada harapan jadi Perdana Menteri.
2. Syaratnya orang itu ada duit, ada pengaruh politik dan ada sokongan dari kayangan. Satu-satunya banduan dalam kategori itu sekarang adalah bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak.
3. Akan tetapi, tindakan NFA (no further action/tiada tindakan lanjut) ke atas Ahmad Zahid semalam (8 Januari) boleh menumpulkan harapan Mohd Najib mendapat kelonggaran hukuman apatah lagi pembebasan dan pengampunan.
4. Dengan pembebasan NFA yang diberikan oleh Peguam Negara itu, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno semakin kuat. Beliau tidak perlukan Mohd Najib lagi.
5. Begitu juga dengan Anwar. Kedudukannya juga bertambah kuat. Pada 6 Januari, tiga hari sebelum NFA, Ahmad Zahid telah berikrar yang Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan Kerajaan Madani sehingga habis penggal.
6. Ahmad Zahid terpaksa buat janji itu kerana Konvensyen Pemuda Umno 3 Januari ada membayangkan supaya Umno keluar Kerajaan Madani dan jadi pembangkang.
7. Walaupun ada pendapat mengatakan Anwar tidak akan jatuh kalau Umno keluar, namun kehadiran parti Melayu itu sangat penting demi memberi keabsahan kepada pemerintahan beliau dengan membawa masuk sokongan orang Melayu.
8. Lagipun, mengukuhkan persepakatan dengan Ahmad Zahid melalui penganugerahan NFA adalah strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
9. Keputusan NFA ini boleh mengukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid dan menghapuskan saki baki sokongan terhadap Mohd Najib. Antara Ahmad Zahid dan Mohd Najib, Anwar tentu lebih takut kepada Mohd Najib dan selesa dengan Ahmad Zahid.
10. Ditakdirkan Mohd Najib keluar penjara dan dapat pengampunan, beliau berkemungkinan diterima balik sebagai Presiden Umno - macam Anwar dengan PKR - dan naik jadi Perdana Menteri semula.
11. Kalau Anwar yang dua kali masuk penjara atas kesalahan jenayah boleh naik jadi Perdana Menteri, mengapa tidak Mohd Najib? Tetapi harapan Mohd Najib mengulangi keajaiban Anwar itu tidak wujud lagi dengan keputusan kes 1MDB dan Perintah Adendum baru-baru ini.
12. Pembebasan dan pengampunan, macam yang baru berlaku ke atas Ahmad Zahid, dan sebelum itu ke atas Anwar sendiri, boleh dirangka melalui Pejabat Peguam Negara.
13. Mungkin sebab itulah, pemberian NFA kepada Ahmad Zahid dilakukan di ambang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Pendakwa Raya daripada Peguam Negara bulan ini.
14. Sekarang Perdana Menteri hanya perlu berurusan dengan seorang, iaitu Peguam Negara. Lepas ini dengan dua orang - Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
15. Anugerah NFA yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 kes prima facie ini dibuat ketika Anwar mendakwa beliau memerangi rasuah tanpa memilih bulu dan beberapa kes berprofil tinggi sedang disiasat, didakwa dan dibicarakan.
16. Kesimpulannya, baik atau buruk anugerah NFA kepada Ahmad Zahid ini terpulanglah kepada Tuan-tuan, Puan-puan, Saudara dan Saudari sekalian menilainya.
17. Seperti ditekankan oleh Machiavelli dalam bukunya, The Prince, moraliti agama dan etika (scruples) tidak ada tempat dalam percaturan politik. Yang utama adalah kuasa dan pengekalan diri (self-preservation).
Wallahuaklam. Terima kasih.
Sebab mutakhir untuk senyum lebar.
kredit: A Kadir Jasin
fb

No comments:
Post a Comment