Januari 14, 2026 @ 9:34am
Salah atasi pencapaian Messi, Ronaldo
Salah (kanan) kini mencapai 100 sumbangan gol antarabangsa untuk Mesir, menggabungkan gol dan umpanan gol lebih pantas daripada Messi dan Ronaldo. - Foto AGRNSI
RABAT: Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) sentiasa menjadi pentas untuk menguji dan membentuk legasi pemain.
Ketika kejohanan menghampiri fasa penentuan, sorotan kembali tertumpu kepada Mohamed Salah, yang mana pengaruhnya melangkaui taktikal dan formasi.
Dengan Piala Dunia 2026 semakin hampir, kapten Mesir itu berada di persimpangan antara cita-cita pasukan dan sejarah peribadi menarik dibandingkan dengan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, dua penanda aras kecemerlangan antarabangsa.
Di peringkat kelab, Salah masih tonggak utama Liverpool, tetapi AFCON adalah pentas yang mana legasinya bersama Mesir menunggu detik kemuncak.
Ketika The Pharaohs mara ke separuh akhir, pencapaian statistik luar biasa meletakkan Salah di hadapan nama-nama ikonik bola sepak - sekurang-kurangnya dalam satu ukuran penting.
Kapten Mesir, Mohamed Salah meraikan kemenangan ke atas Ivory Coast pada suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di Agadir, Maghribi. – Foto REUTERS
AFCON 2025 kini menyaksikan empat pasukan gergasi: Mesir, Senegal, Maghribi dan Nigeria.
Setiap negara hadir dengan identiti tersendiri, pelan taktikal jelas dan barisan pemain mampu menentukan keputusan perlawanan menerusi perincian terkecil.
Keempat-empat pasukan ini sudah dijangka sebagai pencabar terkuat sebelum kejohanan bermula dan kehadiran mereka di separuh akhir mengukuhkan penilaian itu.
Separuh akhir Mesir menentang Senegal dan Maghribi lawan Nigeria menjanjikan bukan sekadar aksi menarik, tetapi juga pertembungan falsafah bola sepak berpengalaman bertahun-tahun.
Bagi Mesir, pentas ini terasa biasa tetapi belum lengkap. The Pharaohs merupakan negara paling berjaya di Afrika, namun kejayaan terakhir di peringkat benua adlah pada 2010 sebelum Salah membuat penampilan sulung antarabangsa.
Detik rekod terserlah
Di sebalik strategi dan jangkaan juara, satu pencapaian peribadi luar biasa muncul yang mengubah pandangan terhadap karier antarabangsa Salah.
Salah kini mencapai 100 sumbangan gol antarabangsa untuk Mesir, menggabungkan gol dan umpanan gol lebih pantas daripada Messi dan Ronaldo.
Penyerang Liverpool itu merealisasikan pencapaian itu ketika kemenangan dramatik pada suku akhir menentang juara bertahan Ivory Coast.
Rekod antarabangsanya kini 65 gol dan 35 bantuan gol dalam 111 penampilan, tahap produktiviti yang hanya dicapai dalam lebih sedikit perlawanan oleh Pele dan Neymar.
Sebagai perbandingan, Messi memerlukan 122 perlawanan, manakala Ronaldo 136 penampilan untuk mencapai angka sama. – AGENSI
kredit:
1. bharian
2. AGENSI
3. REUTERS


No comments:
Post a Comment