Kerajaan Indonesia tanam 21 juta anak pokok bakau menerusi projek ketahanan pantai
JAKARTA: Kementerian Perhutanan Indonesia menanam kira-kira 21 juta anak pokok bakau di empat wilayah keutamaan antara 2024 dan 2025 menerusi projek Bakau untuk Daya Tahan Pesisir (M4CR), lapor agensi berita ANTARA.
Ketua Subdirektorat Pemulihan Hutan Bakau kementerian itu, Giri Suryanta, berkata usaha penanaman semula berkenaan meliputi kawasan seluas 15,574 hektar di Kalimantan Utara, Sumatera Utara, Riau dan Kalimantan Timur.
Beliau berkata penanaman bakau itu adalah sebahagian daripada tindakan iklim berasaskan alam semula jadi kerajaan bagi memperkukuh ketahanan pantai, selain bertujuan memulihkan ekosistem dan memperkasa komuniti pesisir pantai.
Menurut Suryanta, sebanyak 14.6 juta anak pokok bakau telah ditanam di kawasan seluas 13,307 hektar pada 2024 di bawah program M4CR.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1.2 juta anak pokok kini berada pada peringkat penyelenggaraan, terutama di Sumatera Utara dan Riau, katanya.
Beliau berkata pelaksanaan pada 2024 turut merangkumi aktiviti penanaman, Program Sekolah Lapangan Rehabilitasi Bakau serta skim pembiayaan geran padanan, dengan pembabitan seramai 15,407 peserta.
Beliau berkata kementerian akan terus mengemas kini data berkaitan jumlah anak pokok yang diselenggara serta peserta program memandangkan pelaksanaan masih berjalan.
Suryanta menegaskan skala program M4CR mencerminkan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekosistem bakau secara berperingkat, tepat dan mampan.
Beliau berkata inisiatif berasaskan komuniti itu bukan sahaja memulihkan bakau sebagai benteng semula jadi pantai, malah menggalakkan penyertaan masyarakat secara lebih meluas dalam pengurusan sumber alam sekitar yang bertanggungjawab.
kredit: bharian

No comments:
Post a Comment