January 9, 2026
Risau skandal ATM jejas siap siaga keselamatan
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian susulan laporan media mengenai dakwaan salah laku, penyelewengan dalam perolehan pertahanan serta keruntuhan disiplin melibatkan anggota ATM, termasuk penganjuran aktiviti tidak bermoral di kawasan kem tentera.
Menurutnya, dakwaan melibatkan rasuah dalam proses perolehan pertahanan adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana ia berpotensi menjejaskan kesiapsiagaan operasi, keselamatan anggota serta keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
“Saya memandang serius laporan media baru-baru ini dan menyokong sepenuhnya agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, bebas dan tanpa sebarang kompromi oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertahanan,” katanya.
Tambah beliau, prinsip kebertanggungjawaban mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan
“Dalam masa yang sama, isu berkaitan disiplin dan moral dalam kalangan anggota tentera tidak wajar dipandang ringan. ATM dibina atas asas nilai, disiplin dan etika yang tinggi.
“Sebarang tingkah laku yang mencemarkan imej pasukan keselamatan negara perlu ditangani secara tegas, berhemah dan berteraskan pemulihan institusi,” hujahnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Martina turut menyokong usaha Jawatankuasa Pilihan Keselamatan Parlimen untuk memanggil pihak berkaitan bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan lebih berkesan serta menjamin ketelusan tadbir urus sektor pertahanan.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak agar mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan moral anggota ATM.
“Saya menyeru agar semua pihak mengelakkan spekulasi berlebihan yang boleh menjejaskan semangat dan moral anggota ATM yang majoritinya berkhidmat dengan penuh dedikasi dan pengorbanan.
“Tumpuan harus diberikan kepada memperkukuh institusi, menegakkan integriti, dan memastikan angkatan pertahanan negara kekal dihormati serta diyakini oleh rakyat,” katanya.
Terdahulu pada 24 Disember lalu, SPRM merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berhubung maklumat berkaitan dakwaan aliran tunai besar ke dalam akaun seorang pegawai Tentera Darat dan ahli keluarganya.
Dalam perkembangan sama, tular di media sosial dakwaan mengenai budaya tidak sihat yang diamalkan segelintir pegawai ‘seragam loreng’ di dalam mes kem tentera.
Budaya berkenaan dikatakan melibatkan penyalahgunaan kuasa, pergaulan tidak bermoral serta amalan yang bercanggah dengan etika perkhidmatan.
– HARAKAHDAILY 9/1/2026

No comments:
Post a Comment