Januari 3, 2026 @ 6:29pm
AS lancar serangan terhadap Venezuela, tangkap presiden Maduro
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menangkap Presidennya, Nicolas Maduro.
Mengesahkan perkara itu, Presiden AS, Donald Trump hari ini berkata, Maduro kemudiannya dibawa keluar dari negara itu.
Untuk rekod, AS tidak pernah campur tangan secara langsung seperti itu di rantau Amerika Latin, sejak pencerobohan ke atas Panama pada 1989 bagi menggulingkan pemimpin tentera, Manuel Noriega.
"AS berjaya melakukan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro, yang ditangkap bersama isterinya dan diterbangkan keluar dari negara itu," katanya menerusi platform Truth Social.
Asap kelihatan berhampiran Fort Tiuna ketika gangguan bekalan elektrik sepenuhnya berlaku, susulan letupan dan bunyi kuat, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata AS melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro, di Caracas, Venezuela. – Foto REUTERS
Serangan dilancarkan AS selepas Washington menuduh Maduro mengetuai sebuah 'negara dadah' dan dakwaan memanipulasi pilihan raya.
Maduro, yang menggantikan Hugo Chavez dan mengambil alih kuasa pada 2013, menuduh Washington mahu menguasai rizab minyaknya, yang terbesar di dunia
Kerajaan Venezuela, dalam satu rakaman audio menerusi saluran televisyen rasmi negara, berkata ia tidak mengetahui di mana Maduro dan isterinya berada.
Sementara itu, seorang pegawai AS mengesahkan Maduro ditangkap oleh pasukan khas elit AS.
Kata Trump, beliau akan mengadakan sidang media pada jam 11 pagi (1600 GMT) di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, ketika beliau hampir menamatkan percutian Krismas dan Tahun Baharu selama dua minggu.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, bersama isterinya, Cilia Flores, di Caracas. – Foto AFP
Dalam temu bual telefon ringkas bersama The New York Times, Trump memuji operasi itu sebagai 'cemerlang'.
"Banyak perancangan yang baik dan ramai anggota tentera serta individu yang hebat, benar-benar hebat," kata Trump seperti dipetik akhbar itu.
Pengumuman mengejutkan Trump itu dibuat selepas berbulan-bulan tekanan ketenteraan dan ekonomi AS yang semakin meningkat terhadap pemimpin berhaluan kiri itu serta ekonomi negaranya yang bergantung kepada eksport minyak.
Presiden AS itu pada Disember lalu berkata 'adalah bijak untuk (Maduro) meletakkan jawatan', selain menyatakan bahawa 'hari-hari pemimpin Venezuela itu sudah terhitung'.
Dakwaan Trump mengenai penahanan Maduro dibuat dua hari selepas Maduro cuba berhubung dengan Trump, dengan menawarkan kerjasama dalam memerangi pengedaran dadah dan migrasi haram. - AGENSI
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (kiri), berkata Presiden Venezuela, Nicolas Maduro (kanan), bersama isterinya ditahan selepas AS melancarkan serangan terhadap Venezuela. – Foto AFP
kredit: bharian



No comments:
Post a Comment