Oleh Adha Ghazali dan Hazwan Faisal Mohamad
Disember 29, 2025 @
Dari ASEAN ke isu Gaza, Afrika dan BRICS, Malaysia kian dihormati
2025 tahun paling signifikan kepada Malaysia bukan hanya kerana nama negara semakin sering disebut dalam wacana global, tetapi disebabkan berada pada kedudukan cukup strategik khasnya mengemudi ASEAN sebagai Pengerusi, menjalin jaringan diplomasi semakin luas serta memperkukuh reputasi sebagai negara kecil dengan suara besar.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025
● Sidang Kemuncak ASEAN 2025 menjadi testimoni, mempertemukan pemimpin utama dunia. Kuala Lumpur menjadi pusat perbincangan geopolitik Indo-Pasifik, dengan pemimpin dari Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, India, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU) berhimpun memeterai pelbagai kerjasama strategik.
● ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia menunjukkan beberapa kemajuan, mengukuhkan naratif Malaysia bukan sekadar Pengerusi ASEAN 2025, tetapi sebenarnya pemacu dasar.
● Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya.
Afrika dan BRICS
● 2025 menyaksikan detik hubungan baik terjalin antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, membuka ruang dialog baharu antara ASEAN dan Afrika.
● Dalam konteks BRICS, Malaysia mengukuhkan kehadirannya selepas menyatakan hasrat menyertai kumpulan ekonomi itu.
● Penyertaan dalam BRICS memberikan negara kelebihan dari segi alternatif kepada dominasi ekonomi Barat, keseimbangan antara hubungan dengan AS-EU serta China-India.
Timor-Leste anggota ke-11 ASEAN
● Keputusan membawa masuk Timor-Leste sebagai ahli penuh ASEAN bukan sekadar melengkapi keluarga blok kerjasama serantau itu, bahkan meluaskan prospek ekonomi dan jaringan diplomasi.
● Malaysia melakar kejayaan besar dalam hubungan perdagangan dengan Timor-Leste, melalui potensi jualan eksport RM78.48 juta hasil Misi Pemecutan Eksport (EAM).
Lantang pejuang isu Palestin, Gaza
● Dalam isu Gaza dan Palestin, pendirian Malaysia jelas, konsisten dan lantang menuntut gencatan senjata menyeluruh, akses bantuan tanpa halangan serta penghormatan kepada undang-undang antarabangsa.
● Sikap tegas ini mendapat perhatian dunia Islam dan negara Selatan Global.
● Arab Saudi menjemput Malaysia terbabit secara aktif dalam usaha pembangunan semula Gaza.
● Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Qatar September lalu, tegas menggesa tindakan hukuman punitif terhadap Israel sebagai respons kepada kekejaman mereka.
'Penjaga' keamanan serantau
● Dalam konflik sempadan Thailand-Kemboja, Malaysia membantu mengurangkan ketegangan di sempadan dua negara itu, mengembalikan perbincangan ke meja rundingan.
● Usaha turut didukung AS ini diakui perkembangan terbaik sepanjang konflik sekian lama menghantui dua negara berjiran.
● Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi rundingan, disusuli pemeteraian 'Kuala Lumpur Peace Accord' membawa kepada persetujuan gencatan senjata.
Bergema di Pentas UNGA
● Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80 di New York menyaksikan pendirian tegas Malaysia mengecam penyalahgunaan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dalam isu keganasan Israel di Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Malaysia menegaskan tiga kompas perjuangan di pentas berkenaan iaitu tindakan konkrit terhadap kuasa pendudukan Israel, komitmen membangunkan Palestin sebagai negara berdaulat serta reformasi menyeluruh PBB khususnya Majlis Keselamatan supaya lebih inklusif dan efektif.
● Malaysia turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kumpulan The Hague yang mendesak tindakan perundangan dan sekatan menyeluruh terhadap Israel.
Tarif AS, status Pengerusi ASEAN corak ekonomi negara
Tarif tarif timbal balas AS
● Dunia dikejutkan dengan pengumuman Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif timbal balas kepada hampir seluruh negara.
● Malaysia tidak terkecuali apabila dikenakan kadar 24 peratus
● Namun, tarif itu ditangguhkan kepada 10 peratus untuk 90 hari pertama.
● AS memberi alasan Malaysia mempunyai perbezaan lebihan dagangan tinggi berbanding negara itu
Perjanjian ART
● Malaysia menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan AS pada 26 Oktober 2025. Perjanjian ditandatangani ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur untuk berunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Perintah Eksekutif 14257 oleh Trump.
● Malaysia berjaya mengelakkan risiko tarif sepihak AS sehingga 25 peratus atau lebih termasuk ancaman terhadap RM56.2 bilion eksport semikonduktor melalui pemeteraian ART.
● Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ringgit mata wang terbaik Asia
● Ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia berbanding mata wang serantau lain tahun ini
● Ketika terus mencatat peningkatan lebih 9.0 peratus berbanding dolar AS, mata wang Malaysia itu juga kekal bertahan dalam prospek positif apabila kini diniagakan sekitar 4.04 berbanding dolar AS.
FDI negara meningkat berbanding 2024
● Dalam sembilan bulan 2025, jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia meningkat 13.2 peratus kepada RM285 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. -Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM151 bilion atau 53 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.
Kadar inflasi terendah
● Malaysia mencatatkan kadar inflasi 1.2 peratus pada Mei 2025 yang terendah dalam tempoh 51 bulan sejak 2020.
● Pada November 2025, kadar inflasi meningkat sedikit pada 1.4 peratus.
Pasaran hartanah
● Jumlah transaksi hartanah pada separuh pertama 2025 menurun sedikit 1.3 peratus kepada 196,232 transaksi. Menjelang suku ketiga, jumlah transaksi terkumpul mencecah 304,482 unit, iaitu penurunan 2.1 peratus berbanding tempoh sama 2024.
● Namun, dari segi nilai, pasaran mencatat prestasi lebih kukuh apabila nilai transaksi meningkat kepada RM107.68 bilion pada separuh pertama dan RM172.06 bilion menjelang suku ketiga, naik 5.6 peratus tahun ke tahun.
Tengku Zafrul tamat khidmat di MITI, Johari ambil alih
● Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menamatkan khidmat sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berikutan tempoh Senatornya berakhir pada 2 Disember 2025.
● Beliau kemudian dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa 3 Disember 2025 untuk tempoh dua tahun.
● Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilantik menggantikan Tengku Zafrul dalam rombakan Kabinet 16 Disember lalu.
Harga emas cecah rekod tertinggi
● Harga emas melonjak melepasi paras AS$4,500 seauns (RM590 segram) buat kali pertama, manakala perak dan platinum turut mencatat paras tertinggi baharu.
● Kenaikan itu berlaku apabila pelabur berpusu-pusu melabur dalam logam berharga didorong permintaan aset selamat serta jangkaan bahawa kadar faedah AS akan terus diturunkan tahun depan.
Memperkukuh tatakelola meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan
● Kerajaan Perpaduan mengumumkan rombakan Kabinet pada 16 Disember. Rombakan kali kedua dalam tempoh 36 bulan pemerintahan membabitkan pertukaran portfolio lapan menteri dan 10 timbalan menteri.
● Enam timbalan menteri dan seorang muka baharu dilantik sebagai menteri penuh.
● Dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan, susulan empat kekosongan jawatan.
Landskap kehakiman negara lakar sejarah
● Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara baharu pada 6 Ogos 2025 Wan Ahmad menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib pada 2 Julai 2025.
● Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim mengambil alih jawatan Ketua Hakim Negara sementara.
Tempoh perkhidmatan PAT setahun
● 31 Januari, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dilantik Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-23 menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib. Mohd Nizam dijadual mula bercuti pada 1 Januari 2026.
Mohd Khalid dilantik KPN baharu
● Bidang keselamatan negara menyaksikan perubahan kepemimpinan, apabila Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu.
● Mohd Khalid, sebelum ini ialah Pengarah Cawangan Khas, dilantik pada Jun, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain, yang bersara wajib.
● Dari segi penguatkuasaan, agensi baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mula beroperasi pada 1 Januari 2025, khusus untuk memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.
● AKPS diterajui, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang dilantik pada Julai. Beliau sebelum itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 berkuat kuasa
● Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025
● Dibimbangi memberi kuasa terlalu luas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
● Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media dan aktivis digital mempersoalkan potensi kemungkinan berlaku sekatan kebebasan bersuara, penapisan kandungan secara berlebihan
RUU Perolehan Kerajaan 2025 lulus tanpa rujukan mendalam JPKP
● Rang Undang Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos menerusi undian belah bahagian selepas dibahaskan oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
● Biarpun pembangkang menggesa RUU bacaan kali kedua itu ditangguhkan, dengan alasan ia dibentang pada saat akhir sekali gus meminta dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), ia akhirnya diluluskan selepas 125 ahli Parlimen menyokong, 63 lagi menolak, seorang tak mengundi sementara 32 ahli Parlimen tidak hadir.
Kontroversi RUU Pembangunan Semula Bandar
● Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 Mendapat bantahan kuat NGO, UMNO, pakar perancangan bandar dan penduduk bandar lama.
● RUU Pembaharuan Semula Bandar wujudkan kebimbangan hak pemilik asal terancam, risiko pemindahan komuniti miskin bandar, memberi kuasa besar kepada pihak berkuasa tanpa jaminan perlindungan sosial
● Berdepan desakan pelbagai pihak, RUU berkenaan ditangguhkan dan dirangka semula.
● Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB.
RUU Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan
● Industri media Malaysia melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu.
● RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
● RUU Majlis Media Malaysia adalah simbol amalan kebebasan media yang dinantikan selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.
Kejutan DUN Perlis tutup tirai politik
Nurul Izzah menang Timbalan Presiden PKR
● Nurul Izzah Anwar memenangi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan menewaskan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi
Rafizi, Nik Nazmi letak jawatan menteri
● Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada 17 Jun 2025 atas alasan gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei 2025
● Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuatkuasa 4 Julai 2025, selepas gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR.
Keputusan dua menteri PKR meletak jawatan sedikit melengahkan proses kelancaran tadbir urus kerajaan
CEC DAP
● DAP turut mengadakan pemilihan partinya, menyaksikan bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dilantik Penasihat DAP. Jawatannya sebelum ini diisi Gobind Singh Deo, yang memperoleh undi tertinggi dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Keputusan itu turut menyaksikan kejutan selepas beberapa pemimpinnya dianggap lantang dan sering menimbulkan kontroversi, gagal berada dalam CEC sekali gus tewas dalam saingan. Mereka adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar; Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui serta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
GRS terajui Sabah
● Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu, menyaksikan pentadbiran negeri itu sekali lagi dipimpin parti campuran, selepas tiada mana-mana gabungan parti atau parti politik tunggal berjaya menang majoriti mudah 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri.
● Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh 29 kerusi daripada 73 kerusi DUN dipertandingkan, disokong enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN); tiga ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta empat wakil rakyat Bebas.
● Dua ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memilih kekal di blok pembangkang bersama Parti Warisan (WARISAN) yang memperoleh 25 kerusi DUN, ADUN Bebas (seorang), manakala Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), masing-masing satu kerusi.
● Keputusan PRN Sabah menyaksikan kejutan khususnya prestasi merosot dan pencapaian terburuk parti dari Semenanjung khususnya BN dan Pakatan Harapan (PH).
● PRN Sabah dibayangi tindakan Datuk Ewon Benedick meletak jawatan anggota Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada November 2025 atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Pemimpin PAS kekal status quo
● Berbeza pula PAS yang mengadakan Muktamar ke-71, September lalu di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, keputusan pemilihan menyaksikan kesemua jawatan tertinggi parti mengekalkan status quo, dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang terus menerajuinya sebagai Presiden bagi penggal 2025-2027.
UMNO tangguh Perhimpunan
● Perhimpunan Agung UMNO 2025 dijadual berlangsung 26 November lalu, terpaksa ditunda bagi memberi tumpuan kepada PRN Sabah dengan tarikh baharu perhimpunan ditetapkan pada 14 hingga 17 Januari ini.
BN tawan PRK DUN Ayer Kuning
● Berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Perak. Ia menjadi satu-satunya PRK diadakan tahun ini, berbanding empat PRK yang berlangsung pada tahun lalu.
● PRK DUN Ayer Kuning yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru, dimenangi calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir dengan majoriti 5,006 undi selepas meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN, memperoleh 6,059 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS peroleh 1,106 undi.
Tengku Zafrul keluar UMNO sertai PKR
● Keputusan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar daripada UMNO pada 30 Mei lalu sebelum menyertai PKR pada Julai, menyumbang kebingitan politik.
● Keputusan Tengku Zafrul mencetuskan reaksi kurang senang UMNO, sekali gus menguji semangat setiakawan antara parti Melayu itu dengan PKR.
MIC suarakan hasrat keluar BN
● Keputusan Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC pada 16 November lalu, sebulat suara bersetuju meluluskan usul keluar daripada BN serta menyerahkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) memuktamadkannya.
● Mula mencetuskan perbalahan kecil dalam kalangan komponen BN, khususnya antara UMNO dan MIC.
Pergolakan BERSATU
● Pergolakan dalaman BERSATU menyaksikan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan pada Oktober lalu serta penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal kerana melanggar disiplin parti.
● Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin didesak berundur, menyerlahkan sisi lain blok pembangkang sedang dibelenggu konflik.
Sultan Selangor tegur kebiadapan ahli Parlimen
● Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegur ahli Parlimen gagal menunjukkan contoh baik, tidak biadab dan meminta mereka mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti.
● Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir wakil rakyat terjerumus dalam pertengkaran, jerit-menjerit serta tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.
Krisis hubungan UMNO dan DAP
● DAP mendesak putuskan hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh susulan kelantangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegur dasar DAP.
● Menteri Luar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan luah kekecewaan terhadap kerajaan Negeri Sembilan dalam isu pembahagian jawatan politik yang didakwanya tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.
ADUN Melor, Kelantan 'serang' PDRM
● Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Kelantan, Wan Rohaimi Wan Daud bidas kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ada pempengaruh usahawan kosmetik sebagai ketua sindiket jual dadah.
● Wan Rohaimi dakwa kenyataan itu tidak dinyatakan secara berfakta dan tiada data, ketika perbahasan Titah Diraja Dewan Undangan Negeri Kelantan, April lalu.
Isu RUU Pembangunan Semula Bandar (PSB) dipolitikkan
● Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membidas 'orang luar' mempolitikkan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, sehingga mencetuskan kekecohan membabitkan penduduk setempat pada 11 September lalu.
Negara hilang pemimpin berjiwa rakyat, berwibawa
● Pentas politik negara juga melalui saat duka dengan kehilangan beberapa tokoh politik yang banyak berjasa kepada pembangunan dan pembentukan Malaysia.
● Pada 14 April lalu, negara dikejutkan dengan berita pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan pada usia 85 tahun ketika mendapat rawatan.
● Malaysia turut kehilangan figura politik terkenal, iaitu Presiden MIC dan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 17 Jun lalu.
Berita pemergian Pengerusi BN Sabah yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan serta penyandang kerusi DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu, enam hari selepas PRN Sabah berakhir turut mengejutkan negara.










No comments:
Post a Comment