KJ hadir Perhimpunan Agung UMNO hari ini
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membuat kemunculan pertamanya di Perhimpunan Agung UMNO hari ini sejak dipecat daripada parti itu pada 2023.
Beliau yang berpakaian baju Melayu putih lengkap bersamping merah dan bersongkok, menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Khairy tiba di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersama Dr Muhamad Akmal, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan beberapa bekas Ketua Pemuda UMNO yang lain.
Ketibaan mereka disambut dengan satu majlis ringkas, termasuk paluan gendang dan persembahan silat pendek.
Ini kehadiran pertama Khairy ke Perhimpunan Agung UMNO sejak beliau dipecat daripada parti itu pada 2023 atas dakwaan memperlekehkan dan mensabotaj kempen Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Khairy yang juga , bekas Ahli Parlimen Rembau, sebelum ini menuduh Umno telah tersasar daripada hala tuju asal dan menampilkan dirinya sebagai alternatif politik.
Seorang sumber parti berkata Lembaga Disiplin Umno, ketika meneliti kes membabitkan Khairy yang ketika itu merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, telah meneliti beberapa bahan bukti termasuk rakaman video yang didakwa menunjukkan beliau memperlekehkan parti.
Pada Oktober tahun lalu, satu sumber mendedahkan Khairy dijangka kembali menyertai UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah pada November lalu.
Sumber berkata itu, kepulangan Khairy mendapat restu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber berkenaan berkata, Ahmad Zahid dikatakan memberi restu secara peribadi ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan anak Ketua UMNO Perlis, Datuk Razabil Abdul Rahman.
Tiga hari selepas laporan itu diterbitkan, Khairy akhirnya bersuara dan meminta pihak media memberinya masa beberapa minggu untuk memberikan penjelasan.
Sejak itu, beliau tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan.
kredit: bharian

No comments:
Post a Comment