Rasuah Gugat Pertahanan
1. Menyambung berita dan perbahasan mengenai dakwaan rasuah besar-besaran dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekarang, elok kalau saya sebutkan sikit perspektif sejarah.
2. Pertama, kemampuan mendedahkan skandal rasuah seperti yang dilakukan oleh Badrul Hisham bin Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard dan para pemberi maklumat (whistleblower) yang lain mustahil tercapai tanpa ledakan media sosial.
3. Melalui perkongsian secara meluas dan bebas dengan orang ramai, pemberi maklumat ini mendapat perhatian umum dan sekali gus memaksa pihak berkuasa bertindak.
3. Walaupun sesetengah mereka dikenakan tindakan, termasuk tangkapan dan pendakwaan oleh agensi-agensi abang besar (big brother) seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alhamdulillah sehingga sekarang nyawa mereka selamat.
4. Berbanding pendedahan Skandal 1MDB yang banyak berlaku atas initiatif kalangan politik dan dihebahkan melalui Blog, exposé sekarang lebih luas, agresif dan dipacu oleh lebih banyak pihak yang menggunakan lebih banyak platform media sosial.
5. Kedua, skandal kewangan dalam Kementerian Pertahanan dan ATM bukanlah perkara baru atau asing. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan Kementerian Pertahanan adalah sarang rasuah, salah guna kuasa dan manipulasi perbelanjaan awam.
6. Kalau kita ikut garis masa yang ada atas talian dan arkib berita, kita akan dapati skandal perolehan di Kementerian Pertahanan dan ATM sudah lama berlaku dan secara berterusan.
7. Dari awal kemerdekaan (1957) hingga tahun 1970-an, perolehan pertahanan tidak menjadi isu besar kerana ATM mewarisi kelengkapan zaman penjajahan dan mendapat bantuan luar seperti Perjanjian Pertahanan Lima Negara (Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand).
8. Kalau kita tanya Kepintaran Buatan (AI), jawapannya adalah jet pejuang moden kita yang terawal adalah Canadair CL-41G Tebuan dan CAC Sabre, Amerika Syarikat. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima pesawat ini pada penghujung 1960-an dan awal 70-an.
9. Saya pernah terlibat menguruskan berita berkaitan skandal perolehan ATM pada awal tahun 1980-an yang membabitkan pembelian kelengkapan tidak bermutu. Peristiwa itu melibatkan peletakan jawatan seorang pegawai kanan Tentera Darat berpangkat Leftenan Jeneral.
10. Seingat saya, itulah skandal perolehan yang terawal. Ekoran pendedahan itu, yang kalau tidak silap oleh Akauntan Negara, media massa menyelongkar hinggalah kepada harga mi segera untuk tentera.
11. Selepas itu, rasuah dan pelanggaran kontrak perolehan menjadi sistematik dan mencapai kemuncak kejahatan dengan pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada tahun 2006.
12. Peristiwa cela ini bermula apabila pembantu rapat bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, iaitu Abdul Razak Abdullah Baginda, melalui syarikat bernama Perimekar Sdn Bhd, dibagi hak menguruskan pembelian dua buah kapal selam dari Perancis.
13. Aspek rasuah dan salah guna kuasa projek itu ditenggelamkan oleh kes pembunuhan Altantuya. Tetapi pendakwaan rasuah masih berjalan di Perancis.
14. Berpuluh-puluh projek berkaitan ATM sama ada tergendala, melebihi kos, diselamatkan (rescue) atau dibatalkan terus akibat salah guna kuasa, rasuah dan campur tangan politik.
15. Rakyat jelata sudah banyak kali dibuaikan dengan janji-janji manis oleh kerajaan demi kerajaan. Jadi susah hendak percaya sepenuhnya kalau kali ini pun ia bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
16. Pada 12 Januari, media massa memetik Menteri Pertahanan, Mohamad Khaled Nordin sebagai berkata, Pelan Antirasuah Kementerian Pertahanan akan dirombak secara besar-besaran.
17. Natijahnya, sudah ada rancangan antirasuah yang melibatkan ATM tetapi sama ada tidak dilaksanakan atau sekadar melepas batuk di tangga saja.
18. Kesimpulannya, kita hanya boleh berharap yang ATM, dengan kira-kira 160,000 anggota, termasuk anggota simpanan, cukup bersiap sedia dan mampu mempertahankan negara.
19. Sejak tamat peperangan dengan pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya dan Konfrontasi Indonesia, kita sangat-sangat bernasib baik kerana tidak menghadapi serangan besar-besaran daripada mana-mana pihak.
20. Tetapi, dengan apa yang telah dan sedang kita lihat berlaku kepada ATM, kita hanya boleh berdoa dan berharap yang kebimbangan kita adalah tidak berasas.
Wallahuaklam. Terima kasih.
kredit: A KADIR JASIN
No comments:
Post a Comment