Pembentukan Karakter, Kurikulum Prasekolah 2026
Oleh Intan Mahsuri | Dis 17, 2025
Korang tahu tak bermula tahun 2026, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan kurikulum prasekolah baharu yang menitikberatkan pembentukan karakter?
Tindakan ini diambil bagi memastikan murid-murid dapat belajar menjadi insan yang baik selain belajar membaca, menulis dan mengira.
Fokus utama pelaksanaan kurikulum baharu ini adalah untuk menerapkan nilai kasih sayang, membentuk keyakinan diri dan dalam masa yang sama mengajar murid-murid tentang empati, cara bekerjasama, menghormati orang lain dan mengenali emosi sendiri.
Pembentukan karakter secara praktikal
Lebih menarik lagi, program pembentukan karakter bukan sahaja diajar melalui buku bahkan perlu dipraktikkan semasa pembelajaran di kelas dan di rumah.
Murid akan diajar untuk berterima kasih, meminta maaf selain menolong rakan yang berada di dalam kesusahan
Selain itu, interaksi antara guru dan rakan juga akan lebih dititikberatkan. Murid akan diajar cara menyelesaikan konflik dengan damai dan memahami situasi orang lain.
Aktiviti berkumpulan dan penglibatan komuniti juga akan diperbanyakkan bagi memberikan pengalaman yang sebenar untuk memperkukuh nilai empati dan tanggungjawab dalam diri murid-murid.
Banyak nilai murni yang anak akan pelajari?
Korang nak tahu tentang cara pembentukan karakter? Antaranya:
Kasih sayang & empati: Belajar kongsi, bantu rakan, dan faham perasaan orang lain.
Daya tahan & ketabahan: Cabaran kecil dalam aktiviti membina kesabaran.
Keyakinan diri: Melalui persembahan, bercerita, dan selesaikan masalah sendiri.
Rasa ingin tahu & minat belajar: Galakkan murid tanya soalan dan terokai pengalaman baru.
Tanggungjawab & amanah: Contoh, beri mereka peranan kecil di kelas, supaya belajar jaga kepercayaan dan amanah.
Semua nilai-nilai murni ini akan diterapkan secara konsisten, supaya karakter murid-murid dapat dibentuk sejak usia muda, bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Menurut Muhd Haikal (40), sebagai ibu bapa, pelaksanaan kurikulum prasekolah 2026 yang fokus pada pembentukan karakter memang kena pada masanya.
Anak-anak saya boleh dikatakan tiada masalah akademik, tapi bahagian karakter, emosi, dan keyakinan diri tu yang selalu jadi cabaran.”
“Dua anak saya yang dah habis prasekolah pun saya nampak, yang susah bukan belajar ABC atau kira nombor, tapi belajar kawal emosi, belajar sabar, belajar berkawan. Jadi bila kurikulum baharu lebih fokus pada pembentukan karakter, saya rasa itu lebih penting untuk persediaan masuk Tahun 1.” Katanya.
Menyambut baik usaha yang diambil oleh pihak KPM, Hanis Alia (32), ibu kepada 3 cahaya mata ini berharap pelaksanaan kurikulum baharu ini dapat membina asas sahsiah unggul dan daya tahan emosi (resilience) yang sangat penting dalam menghadapi cabaran moden.
Matlamat KPM untuk melahirkan generasi yang seimbang dan menyeluruh melalui penekanan karakter adalah bagus. Saya yakin anak-anak akan menjadi individu yang lebih matang dan berdisiplin selagi sinergi antara ibu bapa dan pihak sekolah dapat dikekalkan.”
“Walau bagaimanapun, kejayaan program ini bergantung kepada kualiti pelaksanaan. Saya berharap KPM memastikan latihan yang komprehensif diberikan kepada semua guru dan kaunselor, kerana kecekapan mereka dalam intervensi awal adalah kunci utama,” katanya.
Guru & ibu bapa main peranan untuk anak
Melalui pelaksanaan kurikulum baru ini, guru secara automatik akan menjadi contoh teladan kepada anak-anak.
Cara mereka mengajar, berbual, buat keputusan dan tunjukkan kasih sayang semuanya akan menjadi panduan anak-anak.
Namun begitu, ibu bapa juga harus ambil peranan dengan memberikan sokongan dan praktikkan nilai yang diajar di sekolah ketika berada di rumah.
Bila rumah dan sekolah seiring, barulah anak dapat belajar secara konsisten dari cara mengucapkan salam hingga bagaimana menghormati rakan.
Bukan sekadar belajar tapi menjadi insan baik
Kesimpulannya Kurikulum Prasekolah 2026 bukan fokus kepada buku dan latihan. Ia tentang membina jiwa, membentuk sikap positif, dan mempersiapkan anak untuk cabaran masa depan.
Dengan pendekatan holistik ni, diharap generasi muda bukan sahaja cerdas secara akademik, tetapi memiliki empati dan berjiwa besar agar mereka dapat menjadi insan baik pada masa akan datang.
kredit: oh bulan


No comments:
Post a Comment