KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Tai Zee How, yang lebih dikenali sebagai Apek Cina, menolak dakwaan wujud penindasan kaum dalam sistem pendidikan kebangsaan Malaysia di peringkat rendah dan menengah.
Beliau berkata, dakwaan yang sering dibangkitkan oleh penyokong parti tertentu bahawa kaum Cina ditindas kerana peruntukan kepada sekolah vernakular lebih rendah berbanding sekolah kebangsaan adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Menurut Zee How, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan merupakan institusi pendidikan milik semua kaum, tanpa pengecualian.
“Sekolah kebangsaan adalah untuk semua Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut dan Orang Asli. Semua layak masuk. Tidak pernah ada sekolah kebangsaan menolak mana-mana kaum,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Katanya, peruntukan berbilion ringgit yang disalurkan kepada sekolah kebangsaan adalah peruntukan untuk semua rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina dan bukan bersifat eksklusif kepada mana-mana kelompok
Tegasnya, pendiriannya itu konsisten tanpa mengira kerajaan yang memerintah.
“Tak kisah kerajaan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan Madani, saya tetap mengatakan perkara yang sama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan tambahan kepada sekolah vernakular dan sekolah agama khas menunjukkan bahawa institusi berasaskan aliran tertentu juga terus diberi perhatian oleh kerajaan.
Dalam masa sama, Zee How menyatakan institusi pendidikan khas bumiputera seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) adalah selaras dengan hak bumiputera yang dipersetujui semua pihak ketika kemerdekaan negara.
Tambahnya, dari sudut peruntukan kepada sekolah kebangsaan, semua kaum menerima manfaat secara sama rata, sejajar dengan amalan sistem pendidikan di kebanyakan negara di dunia.
“Jangan main naratif mangsa. Hakikatnya, tiada kaum yang ditindas dalam sistem pendidikan kebangsaan,” tegas beliau.
kredit: MalaysiaGazette

No comments:
Post a Comment