Vijay ucap selamat tinggal di KL
Oleh Affan Rostam
Disember 30, 2025 @ 7:00am
KUALA LUMPUR: Sepanjang empat dekad mengabdikan diri dalam industri perfileman Tamil hingga mencetuskan fenomena di seluruh dunia, bintang 'otai', Joseph Vijay Chandrasekhar atau Vijay, akhirnya mengambil keputusan berundur daripada dunia yang menyaksikan sanjungan tidak henti-henti diberi peminat terhadap dirinya.
Vijay yang mula menceburi bidang lakonan sebagai pelakon kanak-kanak ketika masih berusia 10 tahun pada 1984 berhasrat untuk melangkah ke fasa baharu dengan meneruskan perjuangan dalam arena politik.
Tambah manis, Vijay membuat pengumuman itu ketika berucap dengan penuh emosi pada majlis pelancaran audio filem Jana Nayagan, iaitu naskhah terakhir sebagai pelakon di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Menjadi detik bersejarah apabila Vijay memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi untuk berkongsi berita itu, di hadapan kira-kira 85,000 peminat, aktor berusia 51 tahun yang digelar Thalapathy itu memberitahu, pengorbanan itu dilakukan demi menghargai sokongan luar biasa peminat selama ini.
Dalam ucapannya, Vijay mengakui sokongan peminat menjadi tunjang kejayaan sepanjang bergelar bintang filem Tamil.
Acara dinamakan Thalapathy Thiruvizha yang berlangsung selama enam jam itu menjadi simbol perpisahan Vijay dengan dunia sinema, diserikan dengan persembahan bertenaga serta ucapan emosional rakan industri.
"Ketika mula menceburi bidang lakonan, saya hanya membayangkan membina rumah pasir kecil. Namun, peminat membangunkan sebuah istana dan benteng untuk saya.
"Demi peminat yang mengorbankan segala-galanya, saya sanggup korbankan dunia perfileman," katanya.
Pada acara itu, turut dibawakan segmen imbas kembali lagu-lagu ikonik Vijay selain persembahan lagu baharu Jana Nayagan yang dilapor menjadi naskhah terakhirnya sebelum meninggalkan dunia lakonan.
Pelancaran audio berkenaan menandakan satu pencapaian penting sebelum filem berkenaan menemui penonton dengan barisan pelakon dan tenaga produksi berprofil tinggi.
Filem Jana Nayagan arahan H Vinoth dan diterbitkan oleh KVN Productions, dibintangi Vijay bersama Pooja Hegde, Bobby Deol, Mamitha Baiju, Gautham Vasudev Menon, Prakash Raj, Narain dan Priyamani.
Acara di Stadium Nasional Bukit Jalil berlangsung dalam dua segmen, bermula dengan Thalapathy Thiruvizha, iaitu konsert penghargaan yang menampilkan kira-kira 30 penyanyi diikuti pelancaran audio rasmi.
Acara itu diiktiraf Malaysian Book of Records (MBR) sebagai pelancaran audio dengan kehadiran penonton terbesar.
Pintu masuk stadium dibuka seawal jam 1 petang, dengan acara bermula pada jam 3 petang sebelum mencapai kemuncak pada jam 7 malam. Sambutan luar biasa daripada peminat menyaksikan tiket acara habis terjual.
Acara itu berlangsung dalam kawalan keselamatan ketat dengan larangan unsur politik oleh pihak berkuasa Malaysia.
Persembahan nyanyian oleh Tippu, Anuradha Sriram dan Saindhavi serta perkongsian kenangan oleh tokoh industri turut mencuri tumpuan.
Pelancaran audio filem Jana Nayagan menandakan suatu pencapaian penting sebelum naskhah berkenaan menemui penonton dengan barisan pelakon dan tenaga produksi berprofil tinggi.
Jana Nayagan arahan H Vinoth dan diterbitkan oleh KVN Productions, dibintangi Vijay bersama Pooja Hegde, Bobby Deol, Mamitha Baiju, Gautham Vasudev Menon, Prakash Raj, Narain dan Priyamani.
Sepanjang karier, Vijay sudah membintangi 69 filem dan tergolong antara pelakon dengan bayaran tertinggi di India.
Vijay juga antara pelakon paling berjaya daripada segi komersial dalam sinema Tamil dengan beberapa filem lakonannya tersenarai sebagai antara filem Tamil meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman.
kredit: bharian





No comments:
Post a Comment