Salah benam rekod lagi di AnfieldDisember 14,
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah melambai kepada penyokong mengucapkan selamat tinggal sebelum ke Piala Negara-Negara Afrika ketika berdepan Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool. The Reds menang 2-0. – Foto AFP
LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Arne Slot berkata keputusan menyenaraikan Mohamed Salah dalam skuad adalah mudah sebelum menang 2-0 ke atas Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi, walaupun mengharungi minggu bergolak susulan kritikan keras pemain itu terhadap pasukan.
Salah sebelum itu diketepikan daripada skuad yang mengatasi Inter Milan 1-0 pada kempen Liga Juara-Juara Selasa lalu, namun dia muncul antara pemain terbaik The Reds di Anfield, mencetuskan sorakan berdiri penyokong.
Bantuan gol Salah bagi jaringan kedua Hugo Ekitike membolehkan dia mencipta rekod mutlak pembabitan gol terbanyak bersama satu kelab dalam sejarah EPL dengan 277, memintas rekod Wayne Rooney (276) bersama Manchester United.
"Ia keputusan mudah untuk menyenaraikannya dan saya sudah banyak kali katakan apa yang dibincangkan antara kami kekal antara kami," kata Slot kepada Sky Sports.
"Dia kembali dalam skuad dan kami memerlukannya kerana dia pertukaran pertama yang saya lakukan. Dia mencipta bantuan gol untuk jaringan kedua hasil sepakan sudut, yang juga penting kerana musim ini kami kerap berada di pihak yang rugi dalam situasi bola mati."
Penyokong terus memberi sokongan kepada Salah dengan melaungkan namanya ketika dia berjalan masuk ke terowong selepas wisel penamat.
Salah yang tersenyum menolak permintaan temu bual selepas perlawanan dengan berseloroh: "Dua minggu berturut-turut? Tidak, tidak, tidak."
Dia kini menyertai skuad Mesir untuk Piala Negara-Negara Afrika yang berlangsung sehingga 18 Januari.
"Inilah yang kami jangka sebelum musim bermula," kata Slot. "Harap seorang atau dua pemain yang cedera dapat kembali."
Salah sebelum ini menuduh kelab mengorbankannya dan mendakwa hubungannya dengan Slot retak susulan kecaman pedas selepas seri 3-3 dengan Leeds United, perlawanan ketiga berturut-turut Slot meletakkannya di bangku simpanan walaupun dia penjaring terbanyak liga musim lalu.
Dia turut membayangkan aksi menentang Brighton mungkin perlawanan terakhirnya bersama kelab.
"Saya beritahu keluarga, datanglah ke perlawanan Brighton. Saya tidak tahu sama ada akan bermain atau tidak, tetapi saya mahu menikmatinya," kata Salah.
"Dalam fikiran saya, saya mahu menikmatinya kerana saya tidak tahu apa yang akan berlaku.
"Saya akan berada di Anfield untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong sebelum ke Piala Negara-Negara Afrika. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu."
Slot dan Salah mengadakan perbincangan yang disifatkan media Britain sebagai positif kelmarin, selepas jurulatih dari Belanda itu menegaskan beliau "tiada sebab untuk tidak mahukan dia kekal." – REUTERS
kredit: bharian

No comments:
Post a Comment